Monday, 8 December 2014

Cerpen Pendek - "Ini Takdirku"

Cerpen:  "Ini Takdirku"

Senyuman Aiman begitu mekar setelah melihat kelibat Sara yang sedang mengheret bagasi besar itu. Sejak tunangnya mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran ke Luar Negara, Aiman setia menanti kepulangan tunangnya. Hari ini dalam sejarah, Aiman begitu gembira. Penantiannya selama empat tahun tidak sia-sia. Aiman menggamit tangan pada Sara bila dia melihat Sara sedang berjalan ke arahnya. Namun tangannya diturunkan bila dia ternampak Sara memeluk seorang lelaki. Lelaki itu kelihatan seperti orang kaya.  Namun Aiman masih berfikiran positif. Dia masih tersenyum memandang Sara.
            Aiman membetulkan kolar baju kemejanya yang di beli dari pasar malam semalam. Dia mahu kelihatan tampan di hadapan Sara. Aiman memanggil nama Sara setelah dia melihat Sara berjalan ke arah lain.
            “Sara..Sara..” Panggil Aiman. Namun Sara tidak mempedulikan panggilan Aiman.
            Sara memandang sekilas ke arah Aiman sebelum dia memasuki kereta BMW milik lelaki itu. Dia tidak mahu Aiman merosakkan hubungannya dengan Zakri. Dia mengenali Zakri ketika bersama-sama belajar di Kanada dahulu. Zakri merupakan anak orang kaya. Bapanya memiliki sebuah syarikat perkapalan.
            Aiman hanya memandang Sara berlalu pergi bersama kereta BMW itu. Dia menunduk hampa. Sedih menyelubungi diri Aiman. Sara yang dia kenal dahulu telah berubah sekelip mata. Lupakah Sara kenapa segala kebaikannya selama ini. Dia sanggup bekerja keras untuk menanggung pembiayaan pengajian Sara sepanjang tunangnya itu belajar di Luar Negara. Kini semuanya menjadi sia-sia. Sara telah melupakannya. Aiman menahan teksi di luar KLIA itu. Dia pulang ke rumah dengan rasa hampa. Hadiah yang dibawa untuk Sara tadi, disimpan semula ke dalam beg sandangnya.


Sara berjalan ke hulur dan ke hilir. Satu rumah dia berjalan. Telah berkali-kali dia memberitahu kepada kedua orang tuanya, namun mereka tetap tidak faham isi hatinya.
“Mak, Ayah. Tolonglah faham Sara. Sara tak mahu kahwin dengan Aiman! Sara nak putus tunang dengan dia.” Sara bercakap dengan nada yang tinggi.
“Sara, beringat sikit apa yang kamu cakap ni. Aiman tu dah banyak bersusah payah untuk Sara. Kalau bukan sebab dia, Sara tak merasa nak belajar di Luar Negara tu. Mak dengan Ayah ni tak mampu nak tanggung Sara sepanjang Sara belajar dulu.” Kata Mak Limah.
“Kalau setakat duit dia yang tak seberapa tu, nanti Sara boleh bayar balik la!” Jawab Sara angkuh.
“Ya ALLAH bang, apa dah jadi dengan anak kita ni.” Mak Limah menangis mengenangkan sikap anaknya yang telah berubah itu.
“Sara! Apa-apa pun terjadi, Sara tetap akan berkahwin dengan Aiman. Kamu tak kesian ke pada Aiman? Dulu kamu bukan main sayang lagi dengan Aiman. Kenapa sekarang kamu berubah!?” Marah Pak Karim.
“Kalau ayah dengan mak tak mahu batalkan pertunangan ni tak mengapa! Sara akan pergi sendiri!” Jerit Sara.
“Sara, mengucap nak. Jangan buat mak dengan ayah macam ni. Kesianlah pada kami. Mana kami nak letak muka nanti. Aiman tu baik budaknya.” Pujuk Mak Limah sambil memeluk bahu Sara.
“Arghh! Tolonglah faham Sara. Sara dah ada pilihan lain. Dia jauh lebih baik dari si Aiman tu. Dia anak orang kaya Mak, Ayah. Dia boleh bagi kesenangan pada kita.” Sara masih berkeras hati.
“Sara, wang ringgit boleh di cari, tapi hati yang baik sukar kita nak jumpa. Apatah lagi orang sebaik Aiman tu. Kamu akan menyesal suatu hari nanti. Ayah tak mahu kamu membuat kesilapan nak.” Suara Pak Karim mula mengendur.
“Susah la bercakap dengan orang tak sekolah macam Mak dengan Ayah ni.!” Sara bangun dan berlalu pergi. Dia menghempas pintu biliknya.
            Pak Karim dan Mak Limah hanya memandang sayu. Sebak hati mereka bila melihat sikap anak yang diasuh dengan penuh kasih sayang sejak kecil telah berubah menjadi anak yang derhaka. Pilu rasa hati mereka. Ya ALLAH, ke mana hilangnya sifat lemah lembut di dalam diri anaknya. Rintih Pak Karim dan Mak Limah dalam hati mereka.   


Di dalam bilik, Sara mencampak semua bantal-bantal ke atas lantai. Sakit hatinya dengan pemikiran kolot kedua-dua orang tuanya. Sara mencapai telefon bimbitnya, dia mendial nombor Zakri. Lama dia menanti untuk panggilan itu dijawab.
            “Hello sayang…” Ucap Sara di corong telefon.
            “Siapa sayang?” Tanya seorang perempuan.
            Sara terkedu seketika. Mungkin dia bersalah dial nombor. Detik hatinya.
            “Maaf, saya ingat ini nombor telefon teman lelaki saya Zakri.” Jawab Sara.
            “Ini memang nombor Zakri. Kau ni siapa?” Tanya perempuan itu dengan kasar.
            “Saya Sara. Teman wanita dia.” Jawab Sara.
            “Teman wanita?. Baik kau lupakan saja angan-angan kau nak jadi teman wanita Zakri. Aku ni bakal isteri dia. Kami dah pun bertunang!.” Kata perempuan itu.
            Sara tersentak bila panggilan itu terus dimatikan oleh perempuan yang mengaku sebagai bakal isteri Zakri. Sara mula bimbang dan takut. Dia cuba mendial sekali lagi nombor itu namun hampa kerana nombor telefon itu talah dimatikan.


Aiman menyusun semua buah-buah pisang yang di ambil dari dusunnya untuk di hantar ke pasar tani. Selepas kejadian di KLIA tempoh hari, Aiman tidak lagi berkunjung ke rumah Sara. Walaupun hatinya begitu hati dengan kecurangan Sara , namun dia tidak dapat menipu hatinya. Dia masih sayang dan cintakan Sara. Sedang Aiman ingin menunggang motorsikalnya, Pak Karim tiba-tiba muncul di hadapannya.
            “Assalamualaikum.” Ucap Pak Karim.
            “Waalaikumussalam Pak Karim.” Jawab Aiman dengan senyuman yang tidak lekang di bibirnya.
            Sejuk hati Pak Karim melihat senyuman Aiman. Di Dalam hatinya dia berdoa agar pintu hati anaknya lembut untuk menerima Aiman kembali.
            “Pak Karim.” Panggil Aiman bila dia melihat Pak Karim termenung.
            “Hah, iya-iya. Maaf Pak Karim tak dengar tadi. Aiman tanya apa tadi?” Soal Pak Karim kalut.
            Aiman tersenyum memandang Pak Karim. “ Saya tak sempat lagi nak bertanya apa-apa. Tengok Pak Karim termenung saja. Ada apa-apa masalah ke Pak Karim.?”
            “Tak ada apa-apa. Eh, kamu tak mahu tanya khabar Sara? Dia dah balik. Ada di rumah.” Kata Pak Karim mahu melihat reaksi Aiman.
            “Maaf Pak Karim. Saya sibuk sikit tak sempat nak ke rumah menjenguk Sara lagi.” Jawab Aiman cuba menyembunyikan rasa hatinya dari pengetahuan Pak Karim.
            “Senang-senang datanglah. Pak Karim balik dulu.” Kata Pak Karim sambil berlalu pergi. Berat rasa hatinya mahu memberitahu Aiman tentang permintaan anaknya yang mahu memutuskan ikatan pertunangan itu.
            Aiman mengangguk kepala sambil tersenyum pada Pak Karim. Dia melihat Pak Karim berlalu pergi. Dia tahu ada perkara yang disembunyikan oleh bakal bapa mertuanya itu. Pasti ada kaitan dengan hubungannya dengan Sara. Aiman mengeluh lemah.


Sara mula menangis. Sudah berhari-hari cuba menghubungi Zakri. Namun nombor telefon Zakri tidak aktif lagi. Sara mula bimbang. Dia risau jika dia hamil. Ini semua kerana termakan dengan janji manis Zakri semasa mereka belajar di Kanada dahulu. Dia dan Zakri bersekedudukan tanpa rasa bersalah dan malu dengan ALLAH S.W.T.
Dia sedih kerana begitu mudah dia tertipu dengan janji manis lelaki seperti Zakri. Bagaimana dia mahu berhadapan dengan kedua-dua orang tuanya. Jika mereka tahu dia telah terlanjur dengan Zakri, pasti mereka akan kecewa dengannya.
Sara tiba-tiba teringatkan Aiman. Hatinya sedih. Rasa kesal kerana mempermainkan perasaan Aiman. Sara segera menukar pakaiannya. Dia mahu keluar sebentar. Dia harus menemui Aiman. Dia harus memohon maaf kepada Aiman atas sikapnya terhadap lelaki itu.
Sara melangkah laju. Dia tahu Aiman pasti berada di pasar tani ketika ini. Apa-apa pun terjadi dia harus menemui Aiman. Dia mempercepatkan langkahnya. Jangkaannya tepat sekali. Dari jauh dia dapat melihat Aiman sedang sibuk mengeluarkan buah-buah yang dibawa dari dusunnya untuk di jual. Sara memanggil Aiman dari seberang jalan.
“Aiman..Aiman..” Laung Sara.
Sayup-sayup kedengaran nama Aiman di panggil. Aiman segera memandang ke arah suara itu. Dari jauh dia melihat Sara sedang melambai tangan padanya. Riak wajah Sara yang ayu dan manis itu mengingatkan dia pada gadis itu. Aiman segera melintas jalan raya itu untuk menemui Sara.
“Sara.” Panggil Aiman.
“Aiman..maafkan Sara. Sara dah banyak sakitkan hati Aiman.” Ucap Sara pantas dengan air mata berjuraian membasahi pipi.
“Sara rasa bersalah sangat buat Aiman macam tu. Sara kesal dengan sikap Sara. Sara terlalu alpa dengan kekayaan dia. Maafkan Sara. Sara harap sangat Aiman masih mahu menerima Sara.” Kata Sara lagi dengan rasa kesal yang bersarang di hatinya. Dia memohon maaf pada Aiman seikhlas hatinya.
Shhh, Aiman tak pernah marahkan Sara. Bagi Aiman, Sara tetap tunang Aiman dan Aiman sentiasa berdoa agar pintu hati Sara terbuka kembali untuk Aiman. Err, Sara, Aiman ada benda nak bagi pada Sara. Dah lama Aiman simpan. Sara tunggu sekejap. Aiman nak ambil dalam beg dekat motor.” Ucap Aiman. Dia terus melintas jalan untuk mengambil hadiah yang dibelikan untuk Sara.
Sara melihat kesungguhan Aiman. Hatinya tiba-tiba sebak mengenangkan segala perbuatannya terhadap Aiman. Benar kata ayahnya, lelaki sebaik Aiman sukar untuk dicari. Sara menanti kedatangan Aiman. Dia memandang jalan yang agak sesak dengan kenderaan yang lalu lalang. Dari jauh Aiman melambai tangan padanya. Dia membalas lambaian itu dengan senyuman. Namun, malangnya tiba-tiba ada sebuah kenderaan yang sedang memecut laju melalui jalan itu.

DEBUMMMM!!!!!!

Segala-galanya berlaku dengan pantas. Ketika itu Sara melihat tubuh Aiman melayang-layang sebelum terjatuh ke atas jalan raya. Tubuh Aiman tergolek tidak bermaya di atas jalan raya itu.
Sara kaku. Dia tergamam seketika. Dia betul-betul keliru ketika itu. Rasanya baru sahaja tadi Aiman malambai tangan padanya. Setelah beberapa orang yang mengerumuni tubuh Aiman, barulah Sara tersedar apa yang sedang berlaku. Dia berlari ke arah Aiman. Dia meraung sekuat hati bila melihat tubuh kaku Aiman yang sedang berlumuran darah itu. Puas Sara menjerit memanggil nama Aiman. Namun Aiman langsung tidak bergerak. Aiman tidak bermaya lagi. Dia sempat tersenyum kepada Sara sebelum menutup mata untuk selama-lamanya.

Sara meraung. Dia meratap sepuas-puas hatinya. Kepala Aiman dipangku atas ribanya. Sara terlihat cincin emas bertahta berlian itu masih berada dalam gengaman tangan Aiman. Sara meraung lagi. Sedih hati menanggung kesakitan ini. Lelaki sebaik Aiman telah meninggal dunia. Rasa kesal, sedih dan pilu tidak dapat membetulkan keadaan lagi. Kini Sara terpaksa menerima hakikat bahawa Aiman telah pergi untuk selama-lamanya.

                                                     *****TAMAT******