BAB
39
Hari ini genap tiga
bulan arwah Puan Asmah meninggalkan Adrianna Wafiyah. Adrianna Wafiyah juga
telah menerima kematian ibunya dengan hati yang redha. Adam Rayyan juga telah
berubah.
Kini Kandungan Adrianna Wafiyah juga semakin besar. Usia
kandungannya telah masuk tiga bulan lebih. Tidak lama lagi dia bakal menjadi
seorang ibu. Perlahan-lahan Adrianna Wafiyah mengusap perutnya sambil menikmati
angin pagi dari balkoni kondo mereka.
“Sayang..buat apa pagi-pagi kat luar ni.” Tegur Adam
Rayyan sambil memeluk tubuh isterinya dari belakang.
“Wafi saja nak ambil angin kat luar. Bosan asyik terperuk
dalam rumah.” Rungut Adrianna Wafiyah.
Sejak tahu Adrianna Wafiyah mengandung, Adam Rayyan telah
memaksa Adrianna Wafiyah untuk berhenti bekerja. Dia tidak mahu berlaku apa-apa
pada Adrianna Wafiyah dan anak dalam kandungan isterinya.
“Jom kita keluar. Cari barang baby.” Ajak Adam Rayyan.
“Betul ni?” Tanya Adrianna Wafiyah girang.
Adrianna Wafiyah terus bersiap ala kadar untuk keluar
bersama suaminya. Walaupun perpakaian ringkas, Adrianna Wafiyah tetap nampak
cantik dengan gaun mengandung yang dipakainya.
“Comelnya isteri abang ni..” puji Adam Rayyan semasa sedang
berjalan di dalam KLCC itu.
“Terima kasih.” Adrianna Wafiyah tersenyum mendengar
pujian itu.
Mereka berjalan-jalan di dalam KLCC sambil mencuci mata
melihat barangan bayi. Adrianna Wafiyah tidak mahu membelinya lagi kerana
menurut orang tua-tua, jangan terlalu awal membeli barangan bayi. Biarlah
kandungan itu berusia tujuh bulan ke atas baru membeli persiapan untuk
menyambut kelahiran bayi mereka. Ini bertujuan untuk menghindari perkara yang
tidak elok berlaku.
Walaupun Adam Rayyan mengatakan Adrianna Wafiyah
berfikiran kono, namun dia tetap mahu mengikut pantang larang orang tua-tua
itu. Akhirnya meraka hanya berjalan-jalan tanpa membeli apa-apa barangan bayi.
Dari jauh Nazirah sedang memerhati pasangan itu sedang
berjalan sambil bergandingan tangan. Nazirah menggepal penumbuknya. Sakit
hatinya melihat kemesraan itu. Nazirah semakin mendendami Adrianna Wafiyah. Dia
tidak mahu Adrianna Wafiyah mendapat cinta dari Adam Rayyan yang sepatutnya
menjadi dia. Dia mahu menamatkan riwayat Adrianna Wafiyah. Baru puas hatinya.
Dia mahu Adam Rayyan merasai kesakitan yang dia rasa. Nazirah berlalu dari situ
dengan hati yang sakit. Penuh dengan rasa benci.
Adrianna Wafiyah yang perasan seperti ada orang yang
sedang memerhatikan mereka mula menoleh ke belakang. Adam Rayyan juga ikut
tertoleh ke belakang kerana hairan melihat isterinya seperti sedang mencari
sesuatu.
“Sayang tengok apa?” Tanya Adam Rayyan.
“Wafi rasa macam ada orang sedang ikut kita.” Jawab
Adrianna Wafiyah.
Adam Rayyan menoleh sekali lagi ke belakang untuk
memastikan kesahihan yang dikatakan oleh isterinya.
“Hmm, tak ada sapa-sapa pun. Perasaan sayang saja kot.”
Kata Adam Rayyan.
“Mungkin juga. Jomlah bang kita balik. Wafi rasa lenguh
pula kaki ni.”
“Okay.”
Sampai sahaja di rumah, Adrianna Wafiyah sudah terduduk
di sofa kerana kepenatan. Adam Rayyan mengurut lembut kaki isterinya yang
semakin membengkak itu. Risau dia melihat kaki isterinya. Tetapi menurut yang
merawat isterinya, itu adalah normal bagi setiap ibu yang mengandung.
“Kalau abang tahu sayang tak nak beli apa-apa baik kita
tak payah keluar. Kan dah panat percuma.” Ujar Adam Rayyan.
“Abang menyesal bawa Wafi keluar jalan-jalan ke?” Tanya
Adrianna Wafiyah dalam nada merajuk.
“La, abang bukan menyesal. Abang cuma tak nak sayang
penat.” Pujuk Adam Rayyan bila dilihat isterinya sudah menarik muka empat
belas.
Sejak mengandung ini, hati Adrianna Wafiyah mudah
tersentuh. Tidak boleh tersalah cakap sikit pasti dia akan merajuk. Manja betul
Adrianna Wafiyah dengan suaminya.
“Dah, tak nak tarik muka macam tu. Nanti menurun pada
anak baru tahu.” Usik Adam Rayyan.
Adrianna Wafiyah terus tersenyum. Hatinya cepat sejuk
walaupun diam kerap merajuk. Setiap harinya makin bahagia. Adam Rayyan
benar-benar mengotakan janjinya. Dia benar-benar sayangkan Adrianna Wafiyah.
“Sayang, minggu depan keluarga Reza akan masuk meminang
Lisya.” Beritahu Adam Rayyan.
“Cepatnya?”
“Papa tak nak lama-lama. Kalau ikutkan papa mahu nikahkan
terus. Tapi keluarga Reza mahu adakan majlis mengikut adab.”
“Oh, baguslah kalau macamtu. Mereka pun dah lama kenal.”
“Itulah. Perkara baik jangan ditangguh-tangguh. Kan
sayang.”
“Pandai pun abang.” Puji Adrianna Wafiyah sambil memcubit
hidung Adam rayyan.
“Jom sayang.”
“Jom ke mana?” Tanya Adrianna Wafiyah dengan wajah yang
pelik.
“Perkara baik jangan ditangguh-tangguhkan” Bisik Adam
Rayyan dalam nada romantis.
“Hish, abang ni…gatalkan. Kita cakap pasal perkahwinan
Lisya dia boleh melalut ke lain pula.” Marah Adrianna Wafiyah.
“Ala..apa kata pepatah melayu tu..sambil menyelam minum
air..” Jawab Adam Rayyan bersahaja.
“Jangan nak mengadalah abang. Dah nak masuk waktu Maghrib
ni. Baik abang pergi mandi. Nanti kita boleh solat sama-sama.” Suruh Adrianna
Wafiyah.
“Baiklah tuan puteri.” Balas Adam Rayyan sambil mengucup
lembut pipi isterinya.
Adrianna Wafiyah ketawa melihat perangai suaminya.
Semakin manja sejak dia mengandung ini. Kalau dilayan perangai gatal suaminya
makin menjadi-jadi miang keladinya. Tetapi itulah yang merapatkan hubungan
Adrianna Wafiyah dan Adam Rayyan tambah erat. Adrianna Wafiyah bangun dan
mengikuti langkah suaminya ke bilik tidur mereka. Dia juga mahu mandi kerana
seharian keluar berjalan-jalan bersama suaminya petang tadi membuatkan tubuhnya
terasa melekit dan tidak selesa.
Sejak Usia kandungannya telah hampir ke empat bulan,
Adrianna Wafiyah tidak lagi mengalami muntah-muntah malahan selera makannya semakin
bertambah. Namun begitu Adam Rayyan sering memantau pemakanannya. Menurut
suaminya dia harus makan makanan yang berkhasiat supaya anak mereka nanti
sihat.
Adrianna
Wafiyah menanti suaminya selesai mandi kerana selepas itu dia pula mahu mandi
dan menunaikan Solat Maghrib bersama suaminya. Sambil menanti, Adrianna Wafiyah
membaca majalah Pa&Ma yang dia beli semasa keluar siang tadi. Sejak
mengandung Adrianna Wafiyah sering membaca majalah tersebut kerana di dalamnya
terdapat banyak info-info untuk ibu mengandung terutama bakal - bakal ibu
seperti dirinya.
“Sayang,
tak nak mandi ke?” Tanya Adam Rayyan.
“Eh,
abang dah sudah ke. Mestilah nak mandi.” Adrianna Wafiyah menutup majalah itu
dan mencapai tuala.
“
Hati-hati berjalan. Lantai bilik air tu basah.” Pesan Adam Rayyan.
“Iya.
Wafi tahu.” Jawab Adrianna Wafiyah.
Adam
Rayyan hanya senyum sambil memakai baju melayu dan kain pelekat. Dia membentangkan
sejadah sementara menanti isterinya selesai mandi. Usai isterinya selesai
mandi, mereka berjemaah bersama-sama.
“Sayang,
duduk sekejap.” Arah Adam Rayyan bila dia melihat isterinya bangun selepas
selesai solat.
“Kenapa
bang?” Tanya Adrianna Wafiyah.
“Duduklah
sekejap. Ada perkara yang abang nak bagitahu pada sayang.”
Adrianna
Wafiyah duduk kembali di hadapan suaminya. Dia menanti butir bicara dari
suaminya.
“Sayang
tahu cerita pasal Sally?”
“Sally?.
Sejak terjumpa dengan dia sebelum dia menunaikan haji haritu, sampai sekarang
Wafi tak dapat khabar berita dari dia. Ada juga Wafi cuba hubungi telefom
bimbit dia. Tapi tidak aktif.” Jawab Adrianna Wafiyah.
“Sebenarnya
dah lama abang nak bagitahu sayang pasal Sally. Tapi memandangkan masa tu
sayang masih bersedih di atas kematian ibu, abang tak sampai hati nak tambahkan
kesedihan sayang.”
“Maksud
aabang apa sebenarnya?”
“Sally
telah meninggal dunia semasa dia menunaikan haji. Menurut cerita yang abang
tahu, Sally ada kanser. Sebelum meninggal dunia dia telah mengutuskan sepucuk
surat untuk abang. Di dalam surat tu dia menceritakan semua kejahatan Nazirah. Dari
situ abang tahu semua yang Nazirah lakukan untuk memisahkan kita.” Jelas Adam
Rayyan.
“Innalillah..semoga
rohnya ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.”Ucap Adrianna Wafiyah.
Walaupun
Sally baru sekejap menjadi sahabatnya, dia tidak menafikan bahawa Sally adalah
seorang sahabat yang baik. Adrianna Wafiyah menyeka air matanya. Dia telah
kehilangan seorang lagi orang yang dia sayang selepas ibunya.
Adam
Rayyan memaut bahu isterinya. Dia tahu Adrianna Wafiyah sedang bersedih di atas
kematian Sally. Dia mencium dahi isterinya. Walaubagaimanapun dia tahu Adrianna
Wafiyah seorang wanita yang cekal. Dia mampu menghadapi setiap dugaan yang diterima.
Sejak
Reza diperkenalkan kepada keluarga Alisya Umaira, Reza kerap keluar dengan
Alisya Umaira. Malah kadang-kadang Datin Rohana juga keluar bersama-sama
mereka. Alisya Umaira bersyukur kerana mummy dan papanya suka pada pilihan
hatinya.
“Lisya,
dah bagitahu mummy kan yang keluarga abang nak datang merisik minggu depan.”
Tanya Reza dalam nada risau.
“Ya
Allah abang ni, dah berapa kali abang tanya Lisya soalan tu.”
“Abang
bukan apa. Abang risaulah. Kalau-kalau saat akhir keluarga Lisya reject abang.”
“Abang
jangan nak fikir bukan-bukan boleh tak. Kan mummy dengan papa suka pada abang.
Karang tak pasal-pasal kena reject
betul baru tahu.” Usik Alisya Umaira.
“Hisy,
jangan..kempunan abang tak dapat kahwin dengan Lisya nanti.”
“Kalau
macam tu tak payah nak fikir bukan-bukan.” Pesan Alisya Umaira.
“kita
nak pergi mana ni.?” Tanya Alisya Umaira lagi.
“Hmmm,
kita pergi tengok wayang nak tak.?” Tanya Reza.
“Ikut
abang la. Lisya follow aje.”
Reza
meneruskan pemanduannya ke arah The Curve Damansara. Hari ini dia mahu membawa
Alisya Umaira berjalan-jalan di luar Kuala Lumpur. Hari minggu seperti ini
Kuala Lumpur akan sesak dengan pengunjung-pengunjung dari dalam dan luar Kuala
Lumpur.
Mereka
menghabiskan masa seharian bersama. Hari kinggu seperti ini sahaja mereka dapat
berjumpa. Jika hari bekerja mereka akan sibuk dengan tugas masing- masing.
Lebih-lebih lagi Alisya Umaira. Sibuk mengalahkan Reza.
Reza
pernah menyuarakan rasa hatinya agar Alisya Umaira berhenti bekerja selepas
menjadi isterinya kelak. Dia tidak mahu isterinya kelak lagi sibuk dari
dirinya. Dia mahu seorang isteri yang sentiasa berada di rumah bila dia pulang
dari bekerja.
Majlis
merisik dan bertunang yang diadakan secara sederhana itu tetap meriah dengan
kehadiran keluarga terdekat. Rumah Datin Rohana telah dihiasi dengan pelamin
yang indah untuk Alisya Umaira. Alisya Umaira merupakan satu-satunya anak
perempuan Datin Rohana dan Datuk Razlan.
Adrianna
Wafiyah mengenakan jubah yang berwarna biru dan disaluti dengan manik-manik
yang sangat indah dan cantik. Baju itu dibeli oleh Adam Rayyan semasa suaminya
itu pergi ke Dubai bulan lepas. Adam Rayyan juga segak mengenakan sepasang baju
melayu yang berwarna sedondon dengan isterinya.
Alisya
sedang disiapkan oleh jurumekap yang khas yang ditempah oleh Datin Rohana.
Kelihatan dua tiga orang kawan Alisya Umaira menemani bakal pengantin itu di
dalam bilik sementara menanti keluarga sebelah pihak lelaki sampai.
Seperti
masa yang telah dijanjikan, keluarga pihak lelaki sampai. Mereka duduk di
tempat yang telah disediakan. Perbincangan mengenai tarikh pernikahan dan
hantaran mula ditetapkan. Datuk Razlan juga mengemukakan hasrat hatinya untuk
tidak lama mengikat tali pertunangan mereka. Kalau boleh dia mahu mereka
disatukan secepat mungkin.
Tukk..tuk..
Kedengaran
pintu bilik Alisya Umaira di ketuk. Seorang daripada kawannya membuka pintu
itu.
“Lisya,
dah siap ke?. Mummy panggil turun untuk acara pertunangan.” Ujar Adrianna
Wafiyah.
“Dah
kak Wafi.”
Alisya
Umaira menuruni tangga dengan penuh debaran. Terasa macam hari ini adalah hari
pernikahannnya. Adrianna Wafiyah berjalan beriringan dengan adik iparnya itu.
Setelah sesi pertunangan selesai maka kini Alisya Umaira sudah sah menjadi
tunangan kepada Reza.
Reza
yang menunggu di dalam kereta sehingga acara selesai dipanggil masuk untuk sesi
bergambar kenang-kenangan. Adam Rayyan dan Adrianna Wafiyah juga mengambil
kesempatan bergambar di atas pelamin adik mereka. Majlis yang diadakan secara
sederhana itu berjalan dengan lancar.
Adrianna Wafiyah
mengurut kakinya yang terasa lenguh gara-gara berjalan banyak pada hari ini.
Dia terus naik ke bilik untuk berehat. Adam Rayyan pula masih dibawah melayan
tetamu yang hadir di majlis pertunangan Alisya Umaira.
“Sayang, puas abang cari kat bawah. Rupa-rupanya dia dah
sedap-sedap baring atas katil.” Gurau Adam Rayyan.
“Wafi rasa penat sangat. Mummy marah ke Wafi naik atas
ni” Ucap Adrianna Wafiyah.
“Eh, tak adalah abang gurau aje la. Mummy pun faham
sayang tengah mengandung.”
“Abang..esok Wafi ada check
up tau.” Adrianna Wafiyah mengingatkan suaminya.
“Alamak, nasib baik sayang ingatkan. Tapi pukul berapa
ya?”
“Macam biasalah pukul 9 pagi.”
“Aduh, abang lupa yang sayang ada check up esok. Abang dah set
up meeting dengan wakil Syarikat dari Korea.” Adam Rayyan berasa serba-salah.
“Kalau macamtu Wafi pergi sendiri la esok.” Jawab
Adrianna Wafiyah.
“Eh, bahayalah sayang pergi seorang-seorang. Nanti abang
minta mummy teman.”
“Tak mengapa bang. Tak payahlah susahkan mummy. Dia mesti
penat.”
“Hmm, kalau macamtu abang minta excuselah untuk meeting
tu. Nanti abang temankan sayang.”
“La, tak payah. Biar Wafi pergi sendiri. Wafi janji akan
hati-hati. Kalau ada apa-apa Wafi akan call
abang. Promise.”Adrianna Wafiyah
meyakinkan suaminya.
“Sayang
ni beria betul nak pergi sendiri kenapa?” Tanya Adam Rayyan yang pelik dengan
sikap isterinya.
“Wafi
cuma tak nak susahkan abang. Lagipun Wafi rasa Wafi boleh pergi sendiri.
Lainlah kalau dah sarat nanti.”
“Erm, yela. Abang izinkan.” Adam Rayyan bersetuju dalam
terpaksa.
“Terima kasih abang.” Adrianna Wafiyah melentok manja
dibahu suaminya.
Selepas semuanya selesai Adam Rayyan dan Adrianna Wafiyah
terus pulang ke kondo. Walaupun dihalang oleh Datin Rohana namun Adam Rayyan
tidak dapat menuruti permintaan Datin Rohana dengan alasan dia tidak membawa
pakaian pejabat dan esok dia harus keluar awal ke pejabat.
Pagi itu Adrianna
Wafiyah pergi ke klinik seorang diri. Dia menanti di sofa yang telah dikhaskan
untuk pesakit. Terdapat dua tiga lagi ibu mengandung yang sedang menanti
giliran meraka.
“Puan Adrianna” Panggil jururawat itu.
Adrianna Wafiyah melangkah masuk ke dalam bilik doktor.
“Apa khabar hari ini Puan Adrianna?” Tanya doktor itu
mesra.
“Baik.”
“Encik Rayyan tak ikut sama hari ni?” Tanya doktor itu
“Suami saya ada mesyuarat pagi ni.”
Seperti biasa doktor itu akan memeriksa Adrianna Wafiyah
dari segi tekanan darah dan gula dalam tubuh Adrianna Wafiyah. Doktor itu juga
melakukan ultra sound untuk melihat perkembangan bayi di dalam kandungan.
Setelah selesai pemeriksaan, Adrianna Wafiyah meminta diri untuk pulang.
Baru sahaja dia hendak masuk ke kereta, telefon bimbitnya
berbunyi. Dia pasti Adam Rayyan yang menghubunginya. Dengan pantas dia menjawab
panggilan itu.
“Hello sayang.”
“Iya abang..eh, bukan abang ada meeting ke?”
“Tengah meetinglah
ni. Tapi abang keluar sekejap nak call sayang.”
“Abang ni risau sangat.”
“Sayang dah selesai ke check up.?”
“Dah selesai. Ni nak balik dah.”
“Okay, hati-hati drive.”
“Okay abang.”
Adrianna Wafiyah meletakkan telefon bimbitnya ke dalam
beg. Baru sahaja dia hendak menutup pintu kereta tiba-tiba ada seorang
perempuan menghalangnya. Nazirah terkejut dengan tindakan pantas itu.
“Nazirah?” Ucapnya pelik.
“Masih kenal aku. Bagus.” Jawab Nazirah.
“Kau nak apa lagi?” Tanya Adrianna Wafiyah cemas bila dia
melihat wajah Nazirah yang bengis itu.
“Aku nak kau mati.! Boleh?” Tanya Nazirah sambil ketawa.
Adrianna Wafiyah mula takut dengan sikap Nazirah. Dia
memandang kiri dan kanan kalau-kalau ada orang yang boleh membantunya.
“Kau cari apa?. Hmm, takut?”
“Naz..apa-apa masalah kita boleh bawa bincang.” Adrianna
Wafiyah cuba berlembut dengan Nazirah.
“Bincang..hmm..okay. Kita nak bincang dekat mana?”
Nazirah mengusap perlahan pipi Adrianna Wafiyah.
“kesian you kan tengah pregnant macamni nak drive. Bagi
sini kunci kereta. Biar I yang drive.”
Adrianna Wafiyah menggigil ketakutan melihat perangai
pelik Nazirah. Dia cuba memcari ruang untuk melarikan diri. Namun Nazirah
menghalangnya.
“Naz, tolong macam buat aku macam ni.” Pujuk Adrianna
Wafiyah.
“Aku kata bagi sini kunci kereta kau!!” Nazirah merampas
kunci kereta Adrianna Wafiyah.
Belum sempat Adrianna Wafiyah menjerit meminta
pertolongan, Nazirah dengan pantas menekup mulut Adrianna Wafiyah dengan
sehelai kain. Tiba-tiba Adrianna Wafiyah pengsan dan tidak sedarkan diri.
Nazirah pantas meletakkan Adrianna Wafiyah ditempat duduk
belakang dan terus memandu kereta itu ke lokasi yang telah dirancang. Nazirah
terus menyuruh orang suruhannya untuk membawa Adrianna Wafiyah masuk ke dalam
Villa milik keluarga Nazirah.
Villa itu agak jauh dari bandar dan ini memudahkan
Nazirah untuk melaksanakan tugasnya. Adrianna Wafiyah diikat di dalam satu
bilik kosong yang terdapat di dalam villa.
“Pastikan perempuan tu tak dapat lari.” Nazirah
mengeluarkan arahan kepada orang suruhannya.
“Baik Cik Nazirah.”
Nazirah terus keluar dari villa itu. Adrianna Wafiyah
ditinggalkan di situ bersama orang suruhannya. Ada perkara yang harus dia
selesaikan sebelum menamatkan riwayat Adrianna Wafiyah.
Selepas Nazirah keluar dari Villa itu, Adrianna Wafiyah
tersedar dari pengsan. Dia melihat keadaan sekeliling. Sangat asing baginya.
Dia cuba mengingati kejadian yang berlaku. Adrianna Wafiyah mula ketakutan. Dia
cuba membuka tali yang mengikat tangannya namun gagal. Adrianna Wafiyah
menangis takut.
“Abang..tolong Wafi..Wafi takut…” Adrianna Wafiyah
menangis sambil menyebut nama suaminya.
Adrianna Wafiyah buntu, dia tidak tahu bagaimana mahu
melepaskan diri dari tempat itu. Dia bimbang kalau Nazirah benar-benar mahu
membunuhnya. Tiba-tiba dia terdengar pintu bilik itu sedang dibuka. Dia mula
mengucap panjang. Dia memejamkan matanya. Berserah dengan apa saja yang bakal
dia tempohi.
“Sayang…” Adrianna Wafiyah dapat suara Adam Rayyan memanggilnya.
“Abang..” Jerit Adrianna Wfaiyah sambil memeluk suaminya.
“Hey, bangun..sayang mimpi apa sampai berpeluh macamni.”
Adam Rayyan mengejutkan Adrianna Wafiyah bangun dari tidur.
“Astaghfirullah..”Adrianna Wafiyah mengurut dadanya.
Lantas dia memeluk Adam Rayyan seeratnya sambil menangis.
“Kenapa ni.?” Tanya Adam Rayyan sambil mengusap belakang
isterinya.
“Wafi takut..tadi Wafi mimpi Nazirah nak bunuh Wafi..”
“Jangan takut, itu mimpi aje. Abangkan ada.”
“Dalam mimpi tu Nazirah cakap dia nak bunuh Wafi. Wafi
takut bang. Wafi takut kalau ia betul-betul terjadi.”
“InShaAllah tak ada apa-apa akan berlaku. Sayang penat
sangat ni. Tidurlah.” Pujuk Adam Rayyan.
“Abang, esok Wafi ajak mummy teman ya. Wafi takut nak
pergi check up seorang-seorang.” Rengek Adrianna Wafiyah.
“Iya esok pagi abang bagitahu mummy. Dah tidur, masih
awal lagi ni.” Adam Rayyan mengusap rambut isterinya.
Adam Rayyan teringat Nazirah. Telah lama dia tidak
mendengar berita Nazirah sejak kejadian dia memarahi Nazirah di Sabah dahulu.
Terbit juga rasa bimbang kalau Nazirah masih berdendam dengannya. Adam Rayyan
cuba melelapkan matanya kembali. Dia memeluk pinggang Adrianna Wafiyah kemas.