BAB
43
Setelah
setahun peristiwa hitam itu berlalu. Kini Adrianna Wafiyah telah disahkan
mengandung semula. Bukan main gembira Adam Rayyan dengan berita yang
disampaikan oleh isterinya. Dia memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT di atas
kurniaanNYA. Usia kandungan Adrianna Wafiyah kini telah masuk lapan bulan. Ini
bermakna tidak lama lagi dia akan menjadi seorang ayah.
Keluarga Datin Rohana mengadakan
kenduri doa selamat untuk Adrianna Wafiyah dan sekaligus untuk Alisya Umaira
dan Reza yang telah selamat dinikahkan sebulan yang lalu. Disebabkan peristiwa
hitam yang menimpa mereka sekeluarga, Datin Rohana dan Datuk Razlan terpaksa
menunda pernikahan mereka yang sepatutnya diadakan sebulan selepas mereka
bertunang dahulu.
Adrianna Wafiyah duduk di kerusi di
bawah khemah. Dia hanya melihat suaminya ke hulur dan ke hilir melayan tetamu
yang hadir di kenduri doa selamat ini. Alisya Umaira juga sibuk memperkenalkan
Reza kepada keluarga mereka. Maklumlah Reza masih baru dalam keluarga Datin
Rohana.
“Sayang, sayang okay tak ni.?” Tanya
Adam Rayyan sambil mengusap perut Adrianna Wafiyah yang telah masuk 8 bulan.
“Okay, cuma penat sikit.” Jawab
Adrianna Wafiyah sambil menyandarkan kepala di bahu suaminya.
“Kalau penat, jom abang hantar
sayang berehat kat bilik.” Kata Adam Rayyan.
“Tak mengapalah bang. Wafi nak duduk
diluar ni. Bukanlah penat sangat.” Jawab Adrianna Wafiyah.
“Okay, kalau macamtu..sayang nak
minum ke nak makan ke biar abang
ambilkan.” Tanya Adam Rayyan lagi.
“Tak usahlah bang. Dah banyak Wafi
makan malam ni.” Jawab Adrianna Wafiyah sambil ketawa kecil.
Adam Rayyan hanya menemani isterinya
di bawah khemah itu. Tangan Adrianna Wafiyah digenggam erat.
“Abang, kalau ada apa-apa jadi pada
Wafi nanti, Abang janji akan jaga anak kita naik-baik ya.
Berikan dia kasih sayang
yang secukupnya. Jangan biar dia rasa kekurangan.” Kata Adrianna Wafiyah.
“Apa yang sayang merepek ni.?” Adam
Rayyan tidak suka isterinya berkata begitu. Dia mahukan kedua-duanya selamat.
“Kita tidak tahu apa yang bakal
berlaku nanti. Jadi Wafi cuma nak abang berjanji.”
“InShaAllah semuanya akan selamat.”
Adam Rayyan mengucup dahi isterinya.
Dia terlalu sayangkan Adrianna Wafiyah. Dia mahu hidup bersama Adrianna Wafiyah
sehingga ke jannah.
“Amboi, macam mereka pula pengantin
baru.” Tegur Alisya Umaira. Reza yang mendengarnya hanya ketawa.
“Eh, kacau daun aja la korang ni.” Gurau Adam Rayyan.
“Yela, kami ni yang pengantin baru
tapi abang dengan kak Wafi pula yang melekat macam belangkas.” Usik Alisya
Umaira lagi.
“Eh, abang dengan kak Wafi memang
hari-hari macam pengantin baru.” Jawab Adam Rayyan tidak mahu kalah dengan
Alisya Umaira.
“Iyalah, tapi cover-cover sikit ya abang. Kesian kat kak Wafi asyik melayan
perangai miang abang.” Balas Alisya Umaira lagi.
“Dahlah sayang, jangan ganggu abang
Ray dengan kak Wafi.” Reza mencelah. Adrianna Wafiyah pula hanya tersenyum
melihat perbalahan mereka.
“Ha betul cakap Reza tu. Jangan
ganggu kami nak bermadu kasih kat sini. Baik korang masuk dalam buat apa yang patut. Buat emm.emmm ke..” Usik Adam Rayyan sambil mengisyaratkan mata kepada
Reza.
Reza ketawa kerana faham dengan
maksud Adam Rayyan. Alisya Umaira yang pada mulanya tidak mengerti maksud
abangnya terus berubah wajah menjadi kemerahan. Dia tiba-tiba berasa malu.
“Abang..tak baiklah. Tengok tu Lisya
dah malu tu.” Adrianna Wafiyah menepuk lembut peha suaminya.
“Sayang, jom kita masuk.” Ajak Reza
sambil mengenyitkan mata pada abang iparnya. Dia sengaja mahu mengusik Alisya
Umaira.
Adam Rayyan sudah ketawa kuat
melihat wajah Alisya Umaira yang mula keruh. Dia kenal sangat dengan adiknya
yang satu ini. Pantang diusik lebih sikit mulalah dia nak tarik muka masam.
“Malas Lisya nak layan korang!”Alisya Umaira berlalu pergi
meninggalkan suaminya bersama kakak dan abangnya.
“Sayang..tunggulah.” Panggil Reza.
“Itulah. Mengusik lagi..kan dah
merajuk si Lisya tu.” Kata Adrianna Wafiyah.
“Baik kamu pergi pujuk si Lisya tu
Reza. Karang tak pasal-pasal kena
tidur luar.” Kata Adam Rayyan sambil ketawa.
“Jangan bang, baru sebulan kahwin
tak kan nak tidur luar dah.” Ucap Reza sambil pergi mencari isterinya.
Datin Rohana yang sedang berjalan ke
arah mereka berhenti sekejap apabila melihat Reza sedang mengejar Alisya
Umaira.
“Itu dah kenapa pula tu?” Tanya
Datin Rohana sambil berjalan hampir ke arah mereka.
“Ala..macam mummy tak kenal anak
mummy tu. Pantang diusik sikit, berangin satu badan.” Jawab Adam Rayyan.
“Hishh, macam-macam. Baru sebulan
kahwin dah bergaduh pula. Dah bersuami pun masih tak buang perangai lama dia.
Lisya..Lisya..” Bebel Datin Rohana.
“Gaduh manja aja tu mummy.” Jawab
Adrianna Wafiyah pula.
“Mummy tengok perut Wafi ni besar
betul. Kesian mummy tengok kamu. Nak berjalan pun susah.”
“Iya ke mummy. Ini mungkin sebab
Wafi mengandung kali kedua..itu yang besar sikit agaknya.” Jawab Adrianna
Wafiyah.
Dia menyembunyikan suatu perkara
dari mereka semua. Sengaja dia tidak memberitahu suaminya bahawa dia sedang
mengandung kembar. Dia mahu memberi kejutan buat suami dan keluarga mertuanya. Dia
telah berpakat dengan doktor yang merawatnya supaya merahsiakan dari
pengetahuan semua. Bukan niatnya mahu menipu tapi dia cuma mahu memberi kejutan
buat suaminya.
“Sayang jom kita masuk. Dah lewat
ni. Tak elok sayang berembun lama-lama kat luar.” Kata Adam Rayyan.
Adrianna Wafiyah hanya menurut kata
suaminya. Sejak disahkan mengandung buat kali kedua, Adam Rayyan memberi
perhatian dua kali ganda berbanding dengan dulu. Dia tidak mahu berlaku apa-apa
yang tidak diingini lagi.
“Kami masuk dulu mummy.” Kata
Adrianna Wafiyah sambil berjalan dengan dipimpin oleh Adam Rayyan.
“Iyalah.” Datin Rohana mengangguk
kepala.
Adam Rayyan membaringkan Adrianna
Wafiyah di atas katil. Dia turun sebentar ke bawah untuk membuat susu pada
Adrianna Wafiyah.
“Sayang, minum susu dulu sebelum
tidur.” Adam Rayyan menyerahkan segelas susu panas pada Adrianna Wafiyah.
“Terima kasih abang.” Adrianna
Wafiyah meminum susu itu hingga habis.
Adam Rayyan meletakkan gelas di atas
meja sudut. Dia menyelimutkan Adrianna Wafiyah. Setelah mematikan lampu bilik,
Adam Rayyan berbaring disebelah Adrianna Wafiyah sambil memeluk isterinya.
Terasa baru sekejap tidur, tiba-tiba
Adrianna Wafiyah bangun dari tidurnya. Perutnya terasa memulas-mulas. Adrianna
Wafiyah bangun ke bilik air, namun sakit itu hilang secara tiba-tiba. Dia
kembali ke katil semula. Baru sahaja dia hendak melelapkan mata, perutnya
terasa sakit semula. Dia terus mengejutkan Adam Rayyan bangun.
“Abang…abang..bangun.” Panggil
Adrianna Wafiyah sambil menahan rasa sakit diperutnya.
“Kenapa ni sayang?” Tanya Adam
Rayyan cemas bila melihat wajah isterinya berkerut-kerut menahan sakit.
“Abang, Wafi rasa dah sampai masanya
nak bersalin ni.” Kata Adrianna Wafiyah.
“Takkan kot. Masih belum cukup masa
lagi.” Jawab Adam Rayyan.
“Anak dah nak keluar tak kan nak
tahan-tahan. Cepatlah bang..Sakit ni.” Adrianna Wafiyah mula meninggikan suara.
Sudahlah dia sedang menahan sakit, Adam Rayyan masih boleh mengira tarikh dia
patut bersalin.
“Hah, dah nak bersalin ke?. Okay
sekejap. Mummy…Mummy..!” Laung Adam Rayyan dari dalam bilik tidurnya.
Datin Rohana bergegas ke bilik Adam
Rayyan setelah mendengar bunyi bising. “Kenapa ni?”
“Wafi dah nak bersalin mummy.” Jawab
Adam Rayyan.
“Hah, dah tu kamu tunggu apa lagi.
Bawa la Wafi ke hospital”
“Okay-okay. Sayang boleh berjalan
tak ni?” Tanya Adam Rayyan.
“Boleh lagi. Cepat bang. Wafi tak
tahan dah ni.” Kata Adrianna Wafiyah sambil berjalan perlahan-lahan ke kereta.
Sampai sahaja dihadapan hospital,
Adrianna Wafiyah terus dibawa ke bilik bersalin. Hanya Adam Rayyan seorang yang
dibenarkan masuk menemani isterinya. Datin Rohana dan yang lain-lain menunggu
di luar bilik bersalin itu.
Adam Rayyan agak cemas melihat
gunting pisau dah sebagainya di dalam bilik itu. Dia berada dihujung kepala
isterinya sambil memegang tangan Adrianna Wafiyah. Doktor yang merawat Adrianna
Wafiyah masuk ke bilik bersalin itu.
“Okay puan Adrianna , bila saya kata
push..baru puan push ya.” Ajar doktor itu.
Adrianna Wafiyah hanya mampu
menganggukan kepala. Air mata mula mengalir menahan sakit yang teramat
sangat. Adam Rayyan mengusap perlahan
kepala Adrianna Wafiyah untuk menenangkan isterinya.
“Okay puan. Push..push..”
Adrianna Wafiyah meneran beberapa
kali. Tiba-tiba dia mendengar suara tangisan bayi. Adam Rayyan yang melihatnya
terasa teruja. Bayi lelaki itu sangat comel.
Namun Adam Rayyan terkejut bila Adrianna Wafiyah tiba-tiba mengerang
sakit semula.
“Okay, ready untuk baby satu lagi.” Kata doktor itu.
“Satu lagi?” Tanya Adam Rayyan
pelik.
“Ya, isteri encik mengandung
kembar.” Jawab doktor itu.
Tiba-tiba Adam Rayyan mendengar
tangisan bayi kedua. Dia tersenyum gembira. Dia mengucup lembut dahi Adrianna
Wafiyah yang masih lemah.
“Syukur Alhamdulillah. Terima kasih
sayang.” Ucap Adam Rayyan.
Setelah selesai semuanya di bilik
bersalin, Adrianna Wafiyah ditempatkan di bilik yang telah ditempah khas oleh
Adam Rayyan. Dia mahu isterinya berasa selesa berada di hospital itu maka dia
telah menempah bilik seorang untuk isterinya.
Adam Rayyan mengiqamatkan kedua-dua
bayi kembar mereka. Datin Rohana sekeluarga yang berada di dalam bilik wad itu
sangat teruja melihat cucu-cucu kembarnya. Tidak sangka Adrianna Wafiyah
melahirkan bayi kembar. Alisya Umaira dan Reza mendukung anak kembar kembar.
Sekejap-sekejap bertukar tangan pula kepada Datuk Razlan dan Datin Rohana. Adrianna
Wafiyah dan Adam Rayyan hanya tersenyum melihat mummy, papa, dan adik-adiknya
begitu teruja dengan kehadiran anak kembar mereka itu.
Setelah
seminggu berada di hospital, kini Adrianna Wafiyah dibenarkan pulang bersama
bayi kembar mereka. Adrianna Wafiyah berasa cukup lega kerana dapat pulang ke
rumah sendiri. Dia langsung tidak selesa semasa berada di hospital selama
seminggu.
“Leganya dapat balik rumah.”Kata Adrianna
Wafiyah kepada Adam Rayyan.
Adam Rayyan pula sibuk melayan bayi
kembar mereka sambil mata sempat memandang Adrianna Wafiyah yang sedang
berjalan menuju ke katil.
“Sayang, apa nama yang kita nak bagi
pada anak kembar kita ni.?” Tanya Adam Rayyan.
“Abanglah pilih.” Kata Adrianna
Wafiyah sambil bertungku.
“Abang tak tahu yang sayang
mengandung kembar. Abang cuma cari satu nama sahaja. Kini kita ada dua anak
lelaki.” Jawab Adam Rayyan sambil mencium bayi kembar mereka.
“Apa nama yang abang pilih?” Tanya
Adrianna Wafiyah.
“Rayyan Qalif.” Sebut Adam Rayyan.
“Erm, kalau macamtu yang lagi
seorang tu kita letak Rayyan Qayyum.”Cadang Adrianna Wafiyah.
“Okay. Menarik juga nama tu. Tapi
yang mana satu Qalif dan yang mana Qayyum.?” Tanya Adam Rayyan yang masih tidak
dapat mengecam anak-anak kembarnya. Kedua-duanya nampak seiras.
“Yang ada tahi lalat dekat kening tu
Qayyum dan yang lagi seorang tu Qalif.”Kata Adrianna Wafiyah.
“Oh, senang la abang nak cam lepas
ni. Kan Qayyum, Qalif..Sayang nak anak papa ni..” Adam Rayyan tak henti-henti mencium
anaknya.
“Dahlah tu bang, dari tadi abang asyik
cium mereka. Biarlah mereka tidur. Kalau tak nanti Wafi langsung tak boleh nak
tidur.” Kata Adrianna Wafiyah.
“Qayyum, Qalif..tengok tu mama dah
jeles la, papa tak cium dia.” Bisik Adam Rayyan pada anak-anaknya namun masih oleh
didengari oleh Adrianna Wafiyah.
“Elleh,
mama tak jeles langsung..Cuma cemburu aja.” Kata Adrianna Wafiyah dan dibalas
dengan ketawa oleh Adam Rayyan.
Adam Rayyan berjalan menuju ke katil
tempat isterinya sedang baring. Dia membantu isterinya yang sedang memakai
stokin. Penghawa dingin dinaikkan suhunya supaya bilik itu tidak terlalu sejuk.
“Lepas ni abang tak boleh tidur lena
lagi.” Kata Adrianna Wafiyah.
“Tak mengapa, abang sanggup berjaga
tiap-tiap malam.” Jawab Adam Rayyan.
“Iyalah tu. Jangan cakap aja.”
Sangkal Adrianna Wafiyah.
Adam Rayyan hanya senyum sambil
menaikkan selimut sehingga ke paras dada isterinya.
“Lepas ni sayang tak payah
mengandung lagi la. Cukuplah kita dah ada dua orang anak.” Kata Adam Rayyan.
“Kenapa pula?. Wafi nak anak ramai.”
Jawab Adrianna Wafiyah.
“Abang kesian pada sayang. Masa
abang tengok sayang bergelut melahirkan anak hari tu, abang rasa cukuplah kita
ada dua orang saja anak. Abang tak sampai hati tengok sayang bertarung sakit
macam tu.” Kata Adam Rayyan sambil mengusap kepala Adrianna Wafiyah.
“Bila Wafi tengok wajah anak-anak
kita, Wafi rasa macam nak mengandung lagi. Mana cukup dua orang bang. Biarlah ramai
sikit. Baru meriah rumah ni nanti.” Jawab Adrianna Wafiyah.
Tiba-tiba kedengaran tangisan anak-anak
mereka. Adam Rayyan pantas bangun nak mendukung Rayyan Qalif dan membawa Rayyan
Qalif kepada Adrianna Wafiyah untuk disusukan. Setelah Rayyan Qalif berada
dalam dukungan Adrianna Wafiyah, Adam Rayyan mengambil Rayyan Qayyum pula
menunggu giliran untuk disusukan.
“Abang rasa kita kena campur dengan
susu formula. Kalau tak, penat sayang hari-hari macam ni. Kesian juga abang
pada anak-anak kita. Terpaksa menunggu giliran untuk menyusu.” Kata Adam Rayyan
yang masih memujuk Rayyan Qayyum yang sedang menangis kelaparan.
Adrianna Wafiyah yang mendengarnya
tersenyum. Sejak dia pulang dari hospital hinggalah sekarang, Adam Rayyan tak
henti-henti bercakap. Ada sahaja perkara yang dia cakapkan.
Walaupun masih kekok mendukung anak,
namun Adrianna Wafiyah dapat melihat naluri kebapaan dalam diri Adam Rayyan.
Adam Rayyan sentiasa membantu Adrianna Wafiyah di dalam menguruskan
anak-anaknya.
“Abang cuti sampai bila?” Tanya
Adrianna Wafiyah sambil menyerahkan Rayyan Qalif kepada Adam Rayyan dan
mengambil pula Rayyan Qayyum untuk disusukan.
“Kalau ikutkan hati abang nak cuti
sampai sayang habis pantang. Nanti abang nak tanya papa.” Kata Adam Rayyan.
“Jangan nak merepeklah bang. Buat
apa abang nak cuti sampai Wafi habis pantang. Kesian papa nak uruskan syarikat
tu seorang-seorang.”
“Tapi abang kesiankan sayang nak
uruskan anak-anak kita seorang diri dalam keadaan sayang yang masih belum baik
sakitnya.”
“Abang, tak pernah dibuat orang.
Isteri bersalin dan suaminya ambil cuti selama 40 hari.”
“Orang tak buat, tak apalah kita
yang mulakan dulu.”
“Jangan nak merepek la. Mummy, Lisya
dan Mak Limah ada untuk bantu Wafi. Abang pergi kerja.” Kata Adrianna Wafiyah.
“Papa cuma nak menyenangkan mama aje
kan Qalif.”Adam Rayyan bercakap dengan anaknya yang berada di dalam dukungannya.
Adrianna Wafiyah yang sedang
menyusukan Qayyum tersenyum lucu melihat Adam Rayyan meluahkan pada anak mereka
yang kedua itu. Yang si anak kecil itu pula merenung wajah papanya macam
mengerti apa yang papanya luahkan.
Adam Rayyan meletakkan kedua-dua
anak mereka di dalam katil bayi setelah anak-anaknya tidur selepas menyusu
tadi. Adrianna Wafiyah bangun dari katil untuk menukar tuala wanitanya yang
telah penuh dengan darah.
“Sayang nak ke mana tu?” Tanya Adam
Rayyan pada Adrianna Wafiyah.
“Wafi nak tukar pad.” Jawab Adrianna Wafiyah.
“Eh, biar abang tukarkan. Sayang
baring aje.”
“Tak apalah bang biar Wafi buat
sendiri.” Adrianna Wafiyah berasa malu. Semasa sedang dalam keadaan elok pun
dia malu mahu menunjukkan kepada Adam Rayyan ini kan pula dalam keadaan
berjahit.
“Tak payah nak malu-malu dengan
abang. Sayangkan belum baik lagi. Biar abang bantu.” Adam Rayyan telah
mengambil tuala wanita yang baru untuk ditukar.
Dalam keadaan malu, Adrianna Wafiyah
terpaksa akur kerana Adam Rayyan berkeras mahu menukarkan untuknya. Setelah
menukar yang baru, Adam Rayyan membawa tuala wanita yang telah digunakan itu ke
bilik air. Adrianna Wafiyah berasa terharu dengan tindakan Adam Rayyan. Begitu
sekali Adam Rayyan melayan dirinya. Hinggakan sanggup menukarkan tuala wanita
untuknya.
Setelah itu Adrianna Wafiyah tidur
kerana badannya masih lemah. Inilah masanya untuk dia tidur apabila kedua-dua
putera hatinya sedang tidur. Jika kedua-duanya telah bangun, Adrianna Wafiyah
sukar untuk berehat kerana kedua-dua putera hatinya kuat menyusu.
Awal-awal
pagi lagi Adam Rayyan telah bangun dan bersiap untuk ke pejabat. Berat rasa
hatinya untuk berpisah dengan kedua-dua anak lelakinya. Namun dia terpaksa pergi
kerja kerana Adrianna Wafiyah tidak bersetuju dengan cadangannya untuk bercuti
lama.
“Abang dah siap.?” Tanya Adrianna
Wafiyah bila Adam Rayyan sedang leka bermain dengan kedua-dua anak lelakinya.
“Dah, okay sayang..papa pergi kerja dulu.
Jangan nakal-nakal. Nanti papa balik ya.” Adam Rayyan bercakap dengan kedua-dua
anaknya.
Adrianna Wafiyah membetulkan tali
leher suaminya. Adam Rayyan mencium pipi Adrianna Wafiyah.
“Abang pergi dulu. Sayang jangan
banyak berjalan. Kalau mahu apa-apa panggil saja mummy atau mak Limah.” Pesan
Adrianna Wafiyah.
“Iya. Wafi tahu. Dah cepat pergi
kerja.” Adrianna Wafiyah menyalami tangan suaminya.
Adrianna
Wafiyah bermain dengan putera-puteranya. Tidak sabar rasanya mahu melihat
anak-anaknya tu membesar. Datin Rohana datang sambil membawa sarapan pagi untuk
Adrianna Wafiyah.
“Wafi, makan dulu. Nanti masuk angin
perut tu.” Kata Datin Rohana sambil bermain dengan cucu-cucunya.
“Terima kasih mummy.” Adrianna
Wafiyah mengambil gelas yang berisi susu panas itu dan meneguknya
perlahan-lahan.
“Wafi, mummy bawa turun Qalif dan
Qayyum ya. Wafi rehatlah dulu.” Datin Rohana membawa turun cucu-cucunya ke
bawah dengan bantuan mak Limah.
Adrianna Wafiyah hanya membalas
dengan senyuman kepada ibu mertuanya. Bolehlah dia berehat sebentar sementara
anak-anaknya dijaga oleh ibu mertuanya.
Apabila melihat cucu-cucunya dibawa
turun oleh isterinya, Datuk Razlan terus menerpa sambil mengambil salah seorang
dari cucu-cucunya. Dia masih belum dapat membezakan yang mana satu Qalif dan
yang mana satu Qayyum.
“Abang sampai sekarang masih tak
dapat nak bezakan yang mana Qalif dan yang mana Qayyum.” Kata Datuk Razlan
kepada Datin Rohana.
“Abang nampak tahi lalat kat kening
ni?” Datin Rohana menunjukkan tahi lalat yang terdapat pada kening Qayyum.
“Nampak..” Jawab Datuk Razlan.
“Ha..yang ada tahi lalat ni namanya
Qayyum. Dan yang abang dukung tu Qalif.” Terang Datin Rohana sambil mengagah
Qayyum yang berada di atas ribanya.
“Oh..barulah abang boleh bezakan.
Rupanya ada tahi lalat yang seorang ni.” Kata Datuk Razlan.
“Tak sangkakan bang selepas
peristiwa dulu Wafi kehilangan anak yang dikandungnya. Sekarang ini Allah
kurniakan dia dengan anak kembar ini.” Kata Datin Rohana.
“Itulah rezeki. Setiap perkara yang
berlaku pasti ada hikmahnya.” Jawab Datuk Razlan.
Alisya Umaira yang baru turun terus
berjalan menuju ke ruang tamu setelah ternampak anak-anak buahnya.
“Hai babies..” Ucap Alisya Umaira sambil mencium kedua-dua anak buahnya
yang berada di atas riba Datin Rohana dan Datuk Razlan.
“Reza dah pergi kerja ke Lisya.
Mummy tak nampak pun dia sarapan tadi.” Tanya Datin Rohana.
“Dah..pagi-pagi lagi dia dah keluar.
Ada meeting pagi ni katanya.” Jawab
Adrianna Wafiyah.
“Kamu tak sarapan ke?. Pergilah
sarapan dulu. Tak elok biar perut kosong.” Nasihat Datin Rohana.
“Kejap lagilah mummy. Papa bagi
Lisya dukung pula.” Alisya Umaira mengambil Qalif dari Datuk Razlan.
“Ala sayang..sayang..geram betullah
auntie Lisya tengok Qalif ni..rasa macam nak gigit.” Alisya Umaira bercakap
dengan anak buahnya. Datin Rohan dan Datuk Razlan ketawa melihat Alisya Umaira
mengagah anak buahnya.
Tengahari
itu Adam Rayyan telah pulang ke rumah. Dia tidak dapat menumpukan pada kerjanya
kerana rindukan anak-anaknya. Adam Rayyan meletakkan beg kerjanya dia atas sofa
ruang tamu. Dia menanggalkan tali leher yang dipakai.
Datin Rohana yang baru keluar dari
dapur terkejut melihat Adam Rayyan telah pulang. Dia menegur Adam Rayyan yang
berada di ruang tamu.
“Ray, awal kamu balik. Balik makan
tengahari ke?” Tanya Datin Rohana.
“Taklah. Ray balik terus. Rindu pada
anak-anak Ray.” Adam Rayyan berkira mahu naik ke atas.
“Hm, Ray..Ray..Macam mana nak buat
kerja kalau asyik ingat pada anak-anak.” Datin Rohana geleng kepala dengan
perangai anaknya itu.
Adam Rayyan hanya tersengih sambil
menggaru kepala yang tak gatal itu.
“Ray naik atas dululah mummy.” Kata
Adam Rayyan.
“Dah alang-alang kamu nak naik tu
bawa sekali nasi untuk Wafi. Dia belum makan lagi tengahari ni.” Datin Rohana
menunjukkan dulang yang berisi nasi dan semangkuk sup ikan haruan untuk
menantunya yang diletakkan di atas meja makan.
Adam Rayyan mengambil dulang itu dan
dibawa ke atas. Dia menguak pintu bilik perlahan-lahan. Risau jika mengejutkan
anak-anaknya yang sedang tidur itu.
“Abang.” Sebut Adrianna Wafiyah
terperanjat melihat suaminya balik tiba-tiba.
“Shhhh.
Jangan bising. Nanti babies bangun.”
Kata Adam Rayyan.
“Awalnya abang balik?” Bisik
Adrianna Wafiyah perlahan.
“Abang tak boleh nak buat kerja.
Asyik teringatkan Qalif dan Qayyum.” Jelas Adam Rayyan.
Adrianna Wafiyah tersenyum lucu.
Baru setengah hari berpisah dengan anak- anaknya, Adam Rayyan telah merindui si
kembar itu.
“Sayang makan dulu sementara baby-baby kita tengah tidur.” Kata Adam
Rayyan dan Adrianna Wafiyah berjalan ke sofa yang terdapat di dalam bilik itu
untuk makan tengahari.
Kesian Adam Rayyan melihat lauk yang
dimakan oleh isterinya. Hari-hari Adrianna Wafiyah terpaksa makan lauk itu.
Kalau dia ditempat Adrianna Wafiyah pasti sudah bosan mahu menelan lauk itu
hari-hari.
“Abang dah makan ke?” Tanya Adrianna
Wafiyah pada Adam Rayyan yang asyik memandangnya makan.
“Belum lagi. Kejap lagilah. Abang
tak lapar lagi.” Jawab Adam Rayyan.
Adrianna Wafiyah mengangguk faham.
Dia terus makan nasi itu bersama sup ikan haruan.
“Sayang, sabar sikit ya makan lauk
tu. Nanti dah habis pantang abang bawa sayang makan makanan yang sedap-sedap.”
Kata Adam Rayyan tiba-tiba.
“Wafi okay aje makan lauk macam ni.
Dah nama pun berpantang.” Jawab Adrianna Wafiyah sambil senyum memandang Adam
Rayyan. Begitu prihatin Adam Rayyan ke atas dirinya.
Adam Rayyan menemani isterinya makan
tengahari di bilik. Hendak bermain dengan anak-anaknya mereka masih tidur.
Tidak sabar rasanya mahu menunggu mereka bangun. Dia belum puas bermain dengan
anak-anak kembarnya. Adrianna Wafiyah yang melihat Adam Rayyan sekejap-sekejap
menjenguh anak-anak kembarnya mula tersenyum lucu. Dia tahu Adam Rayyan mahu
anak-anaknya bangun supaya dia dapat bermain dengan mereka.
TQ baby mio. ;)
ReplyDelete