Monday, 5 May 2014

"Kenal Erti Cinta"- BAB 31

BAB 31

Adrianna Wafiyah tercari-cari kelibatnya suaminya. Menurut suaminya penerbangan dari London akan mendarat di KLIA pada pukul 3 petang waktu Malaysia. Sekarang telah pukul 3.30 petang tetapi kelibat suaminya masih belum kelihatan.

            “Wafi, duduklah dulu. Pening mummy tengok Wafi asyik ke hulu ke hilir.” Tegur Datin Rohana. Dia menemani menantunya itu ke KLIA.

            “Wafi risau mummy. Sepatutnya abang Ray dah sampai setengah jam yang lalu. Ini batang hidung dia pun belum nampak.” Luah Adrianna Wafiyah.

            “Kejap lagi sampailah tu.” Datin Rohana menenangkan menantunya itu. Lucu dia melihat menantunya itu cemas semacam. Dia tahu Adrianna Wafiyah tidak sabar mahu bertemu dengan Adam Rayyan.

            Adrianna Wafiyah menurut kata ibu mertuanya. Dia duduk disebelah ibu mertuanya. Tetapi kepalanya sekejap-sekejap akan menoleh ke kiri dan kanan mencari kelibat suaminya. Selepas hampir sejam menanti, Adrianna Wafiyah pantas bangun dari kerusi itu setelah melihat kelibat suaminya keluar dari balai ketibaan.

            “Abang.” Ucap Adrianna Wafiyah perlahan. Datin Rohana segera bangun apabila mendengar ucapan itu dari mulut Adrianna Wafiyah.

            Dari jauh Adrianna Wafiyah dan Datin Rohana dapat melihat Adam Rayyan sedang berjalan beriringan dengan seorang perempuan dan seorang lelaki. Adrianna Wafiyah kenal dengan lelaki yang sedang berjalan dengan suaminya itu. Itulah adalah Rafi teman baik suaminya. Tetapi siapakah perempuan yang sedang berjalan bersama mereka. Suaminya tidak pernah memberitahu ada seorang perempuan turut serta di persidangan itu. Adrianna Wafiyah cuba menyingkir perasaan curiga terhadap suaminya. Barangkali perempuan itu adalah kenalan suaminya dan Rafi.

            Tetapi tidak pada Datin Rohana. Dia cukup mengenali perempuan yang berada di sisi anaknya itu. Perempuan yang telah membuatkan hati Adam Rayyan terluka. Perempuan itu adalah perempuan yang sangat dia benci. Kerana perempuan itu hidup Adam Rayyan terumbang ambing. Datin Rohana mengetap bibirnya.

            Adrianna Wafiyah melambai tangan ke arah suaminya sambil berjalan mendapatkan suaminya. Datin Rohana mengikuti dari belakang. Dia meluat mahu melihat perempuan itu.

            “Abang… abang sihat” Adrianna Wafiyah segera mencapai tangan Adam Rayyan dan menyalaminya dengan penuh rasa hormat.

            “Mummy pun ada sekali.” Adam Rayyan tidak mengendahkan pertanyaan isterinya. Dia terus bersalam dengan Datin Rohana.

            Adrianna Wafiyah terasa hati bila suaminya seakan mengelak darinya. Tetapi segera Adrianna Wafiyah membuang perasaan itu. Dia tidak patut mencurigai suaminya sendiri. Adrianna Wafiyah cuba mempamerkan senyuman.

            Nazirah yangmasih berada di situ hanya tersenyum sinis bila Adam Rayyan tidak menghiraukan Adrianna Wafiyah. Dia tahu pasti Adam Rayyan telah terkesan dengan gambar yang dia hantar.

            “Mummy saja teman Wafi.” Jawab Datin Rohana sambil mengerling ke arah Nazirah.

            “Aunty sihat.” Tegur Rafi sambil menyalami tangan ibu kepada teman baiknya.

            “Sihat. Lama Rafi tak datang rumah. Kalau ada masa singgahlah ke rumah.” Jawab Datin Rohana ramah sambil mata menjeling Nazirah.

            Nazirah masih diam membantu. Dia takut melihat wajah Datin Rohana yang asyik merenung tajam ke arahnya.

            “InShaAllah aunty. Okaylah saya balik dulu.” Rafi memohon diri untuk beredar.

            “Mummy sihat.” Nazirah tiba-tiba bersuara setelah Rafi beredar dari situ. Dia menghulur tangan untuk bersalam dengan Datin Rohana.

            “Sihat!” Jawab Datin Rohana dengan dingin. Dia tidak menyambut huluran tangan dari Nazirah.

            Adrianna Wafiyah yang melihat sketsa itu bertambah pelik bila perempuan itu memanggil ibu mertuanya “mummy”. Dia bingung. Dia penasaran ingin tahu siapa perempuan itu. Setelah melihat air muka ibu mertuanya jelas menunjukkan bahawa ibu mertuanya tidak menyukai perempuan itu.

            “Jom Ray, Wafi kita balik!. Papa pun dah tunggu di rumah.” Ajak Datin Rohana yang pantas berjalan meninggalkan mereka.

            “Err, Naz sorry about my mom.” Ucap Adam Rayyan. Dia bersimpati kepada Nazirah atas layanan mummynya itu.

            “It’s okay. Not her fault. I yang bersalah.” Nazirah beriak sedih. Dia bengang kerana Datin Rohana telah memalukan dia di hadapan Adam Rayyan dan Adrianna Wafiyah.

            “Abang, what’s going on here?” Adrianna Wafiyah semakin pelik. Dia tidak dapat bersabar untuk tahu perkara sebenar.

            “Nothing. Ohh, Sorry Naz. I lupa nak kenalkan. This is my wife. Adrianna Wafiyah.”

            “Hai, Nazirah. Panggil Naz aje.” Nazirah cuna mempamerkan kemesraan kepada Adrianna Wafiyah.

            “Wafi.” Balas Adrianna Wafiyah ringkas. Selebihnya dia masih terasa dengan sikap suaminya.

            “Okaylah Ray. I balik dulu.”

            “Okay, take care.” Adam Rayyan menurunkan beg pakaian Nazirah dari troli.

            Adrianna Wafiyah mula berasa cemburu melihat kemesraan suaminya dan Nazirah. Apakah hubungan mereka. Kenapa mereka berkongsi troli yang sama. Adrianna Wafiyah cuba beriak biasa. Dia tidak mahu Adam Rayyan perasan dengan perasaan cemburu yang mula menjalar dalam dirinya.

            “Thanks Ray. Nice to meet you Wafi.” Ujar Nazirah senyum sambil melangkah pergi.

            Adam Rayyan segera memasukkan beg pakaian ke dalam bonet kereta tanpa menghiraukan isterinya. Dia cuba menyingkirkan perasaan cemburu terhadap isterinya. Tetapi apabila melihat wajah isterinya, dia mula terbayang gambar yang dia dapat melalui kiriman dari nombor yang tidak dikenalinya itu.

            Sepanjang perjalanan Adrianna Wafiayh hanya mendiamkan diri. Datin Rohana juga diam. Dia sakit hati kerana Adam Rayyan senang-senang boleh bersama Nazirah semula.

            Adam Rayyan perasan dengan wajah mendung isterinya. Tetapi dia hanya berbuat biasa. Dia tiada perasaan sekarang mahu menegur isterinya. Lalu dia hanya membiarkan isterinya melayan perasaan sendiri sepanjang pemanduannya.

            Sampai sahaja dirumah Adrianna Wafiyah meminta diri untuk ke naik ke atas. Dia tidak betah berlama diruang tamu itu. Perasaannya sedih apabila Adam Rayyan tiba-tiba tidak menghiraukan kehadirannya. Selama seminggu dia menanti kepulangan Adam Rayyan. Adakah ini yang dia patut dapat dari Adam Rayyan. Adam Rayyan seakan mahu mengelak darinya.

            “Ray. Sejak bila kamu berbaik dengan Nazirah?” Tanya Datin Rohana setelah Adrianna Wafiyah naik ke atas.

            “ Ray jumpa Nazirah masa di persidangan di London. Dia menggantikan tempat daddynya.” Terang Adam Rayyan.

            “Mummy tak nak Ray berbaik dengan perempuan tu. Faham!” Kata Datin Rohana tegas.

            “Kenapa ni. Ana, Ray?” Tanya Datuk Razlan yang sedari tadi hanya menjadi pemerhati.

            “Abang tanyalah anak abang ni. Apa yang dia dah buat.” Jawab Datin Rohana dengan marah.

            “Kenapa ni Ray. Apa yang kamu dah buat. Baru saja sampai mummy kamu dah marah begini.” Tanya Datuk Razlan

            “Ray tak buat apa-apa pun papa. Mummy dah salah faham.” Jawab Adam Rayyan membela dirinya.

            “Salah faham?. Cuba cakap dengan mummy. Kenapa Ray berbaik dengan Nazirah. Ray dah lupa apa yang dia dah buat pada Ray. Pada keluarga kita?” Marah Datin Rohana.

            “Mummy, Naz dah berubah. Dia dah minta maaf dengan Ray . Rafi pun ada masa tu. Kalau mummy tak percaya, mummy boleh tanya pada Rafi.” Jawab Adam Rayyan.

            “Mummy tak percaya perempuan macam itu boleh berubah sekelip mata.” Ujar Datin Rohana.

            “Ray tak ada apa-apa hubungan dengan Naz. Ray hanya berkawan biasa dengannya. Salahkah kalau Ray berkawan dengan Naz. Lagipun dia kawan Ray sejak di Universiti lagi.”

            “Yang menjadi salahnya dekat sini, sebab perempuan itu pernah menjadi kekasih Ray. Mummy tak nak Wafi terasa hati dengan Ray kalau dia tahu perkara ni.”

            “Mummy, rumah tangga Ray biar Ray yang handle!” Adam Rayyan mula meninggikan suara.

            “Ray, tak baik kamu bercakap macam tu pada mummy.” Tegur Datuk Razlan.

            “Ana, kalau betul apa kata Ray tu, biarkan aje. Lagipun Ray cuma berkawan dengan Nazirah tu. Perkara yang dah lepas biarkan berlalu.” Kata Datuk Razlan.

            “Tapi abang..”

            “Sudah la, kita ni pun dah tua, seharusnya kita tunjukkan sikap yang boleh dicontohi oleh anak-anak kita. Kalau betul seperti yang Ray bagitahu, seharusnya kita maafkan Nazirah. Setiap manusia tidak lari dari melakukan kesilapan. Lagipun masa tu dia masa muda. Belum cukup matang untuk memikirkan soal kehidupan.” Nasihat Datuk Razlan.

            “Hmm,  Tapi hati saya masih geram dengan sikap dia.” Jawab Datin Rohana.

            “Anggap sahaja masa itu Nazirah belum matang. Kita sebagai orang tua ini harus menegur mereka jika mereka buat kesalahan. Lagipun Nazirah pernah menjadi kesayangan awak suatu ketika dulu kan. Maafkan saja dia. Barulah hati awak akan tenang. Lagipun Ray dah kahwin. Tiada apa yang awak perlu risaukan.” Nasihat Datuk Razlan lagi.

“InShaAllah saya akan cuba. Tapi..Mummy cuma nak pesan pada Ray, tolong jaga perasaan Wafi. Jangan sakiti hati dia.” Pesan Datin Rohana.

            Adrianna Wafiyah yang sedari tadi berdiri di anak tangga hanya mendengar setiap patah perbualan suami dan mertuanya. Air matanya mengalir tiba-tiba. Sedih mendengar cerita itu. Rupanya selama ini mereka semua merahsiakan identiti Nazirah darinya. Jiwanya mula dilanda cemburu. Dia segera melangkah ke biliknya. Risau jika suaminya ternampak dia mencuri dengar perbualan mereka.

            Adrianna Wafiyah segera membersihkan diri. Di dalam bilik air dia menangis semahunya. Melepaskan semua kekusutan yang melanda dari perbualan yang dia dengar tadi. Usai membersihkan diri, Adrianna Wafiyah segera menunaikan Solat Maghrib.

            “Ya Allah, kamu melindungilah rumah tanggaku. Limpahkan kebahagiaan dalam rumah tanggaku. Jauhilah aku dari perasaan curiga terhadap suamiku.” Adrianna Wafiyah mengamin doa.

            Sedang dia melipat sejadah, dia terdengar pintu terkuak dari luar. Dia hanya berbuat biasa.

Adam Rayyan melangkah masuk. Dia duduk di birai katil. Memerhatikan Adrianna Wafiyah yang sedang melipat sejadah. Sungguh, dia sangat rindukan isterinya itu. Adam Rayyan berbaring dia atas katil dengan tangannya di letakkan ke dahi.

Adrianna Wafiyah bangun dan melangkah mengahampiri suaminya yang sedang baring itu. Dicapai kedua-dua tangan suaminya lalu diletakkan ke bibirnya. Lama dia mencium tangan itu.

Adam Rayyan bangkit dari pembaringan. Dia agak terkejut dengan perbuatan Adrianna Wafiyah.

“Abang, Wafi minta maaf kalau Wafi ada buat salah dengan abang.” Ucap Adrianna Wafiyah sambil mengalirkan air mata.

Adam Rayyan mengeluh lemah. Dia lemah apabila melihat air mata isterinya. Perasaan kesian, sayang dan marah kini bercampur menjadi satu.

“Kenapa tiba-tiba minta maaf dengan abang?” Duga Adam Rayyan.

“Sebab Wafi perasan abang seolah-olah mahu mengelak dari Wafi. Padahal Wafi rindu sangat dengan abang.” Luah Adrianna Wafiyah sambil menyeka air matanya.

“Abang cuma penat.” Jawab Adam Rayyan.

“Wafi kenal abang. Abang tak pernah macam ni kalau penat. Abang, tolonglah bagitahu Wafi kalau Wafi ada buat salah dekat abang.”

“Betul Wafi nak tahu?”

“Bagitahulah abang. Wafi tak nak rumah tangga kita hancur gara-gara salah faham.”

Adam Rayyan segera mencapai telefon bimbitnya dan menunjukkan gambar di dalam telefonnya kepada Adrianna Wafiyah.

“Wafi ada apa-apa penjelasan dengan gambar ni?”

Adrianna Wafiyah yang melihat gambar itu menjadi terkejut. Macam mana gambar itu boleh sampai ke pengetahuan suaminya. Siapa yang mengambil gambar itu. Adrianna Wafiyah terdiam. Dia tidak tahu bagaimana mahu menjelaskan kepada suaminya.

“Macam mana abang boleh dapat gambar ni?”

“Itu bukan persoalannya. Yang abang nak tahu sekarang siapa jantan ni dan kenapa Wafi keluar tanpa pengetahuan abang?” Tanya Adam Rayyan dengan suara yang agak tinggi. Perkataan sayang sudah hilang bila perasaan marah menguasai diri Adam Rayyan.

“Wafi minta maaf sebab keluar tanpa izin abang. Tapi sungguh abang, Wafi tak buat apa-apa dengan dia.” Terang  Adrianna Wafiyah.

“Kenapa Wafi jumpa lelaki ni.? Dia kekasih gelap Wafi ke?”

“Abang, abang dah salah faham.”

“Habis, lelaki itu siapa? Kenapa Wafi susah sangat nak jelaskan pada abang?” Suara Adam Rayyan menjadi kuat.

Adrianna Wafiyah menjadi takut mendengar tengkingan suaminya. Sudah lama Adam Rayyan tidak bercakap seperti ini. Adrianna Wafiyah mula menangis. Tidak sangka begitu mudah Adam Rayyan menuduhnya tanpa usul periksa.

“Jawablah, kenapa nak menangis kalau tak salah?!!” Tengking Adam Rayyan. Dia menjadi semakin panas bila Adrianna Wafiyah hanya diam.

“Lelaki itu bos di tempat Wafi kerja.” Jawab Adrianna Wafiyah terketar-ketar menahan rasa sebak.

“Bos?, bos apa kalau bawa isteri orang keluar macam tu?” Adam Rayyan tersenyum sinis.

“Abang, dengar dulu apa yang Wafi nak cakap.”

“lelaki itu adalah kekasih kepada Lisya dan juga bos di tempat Wafi bekerja.”Terang Adrianna Wafiyah.

“Kekasih Lisya? Abang tak pernah tahu pun?” Suara Adam Rayyan mula mengendur.

“Iya, hanya Wafi yang tahu setakat ni. Lisya belum bersedia mahu memperkenalkan lelaki itu pada keluarga kita.”

“Habis kenapa sayang keluar dengan dia?” Adam Rayyan mula menggunakan panggilan mesra itu semula.

“Masa itu Lisya pun ada sekali, Tapi dia pergi beli buku. So tinggallah Wafi berdua dengan boyfriend dia. Kalau abang masih tak percaya, abang boleh tanya pada Lisya. Wafi dah tak tahu macam mana mahu buat abang percaya dengan Wafi.” Ujar Adrianna Wafiyah sambil melangkah mahu keluar dari bilik itu. Dia kecewa dengan sikap Adam Rayyan yang menuduhnya melulu begitu.

“Sayang..”Tiba-tiba Adam Rayyan menarik pergelangan tangan isterinya.

“maafkan abang. Abang tak sepatutnya curiga dengan sayang. Abang sepatutnya tanya pada sayang terlebih dahulu sebelum mengambil apa-apa tindakan.” Luah Adam Rayyan. Dia berasa sangat bersalah pada Adrianna Wafiyah.

Adrianna Wafiyah menjadi semakin sedih bila suaminya meluahkan kata-kata. Air matanya menjadi semakin laju.

“Wafi rindu sangat pada abang. Setiap hari Wafi menanti kepulangan abang. Tapi bila abang balik, abang langsung tak endahkan Wafi.” Adrianna Wafiyah meluahkan segala yang terbuku dalam hatinya.

Shhh, abang pun rindukan sayang. Rindu sangat-sangat. Jangan menangis lagi. Abang betul-betul minta maaf atas segala perbuatan abang. Abang janji selepas ini abang tidak akan bertindak melulu tanpa usul periksa.” Dia memeluk erat tubuh isterinya. Hatinya turut sakit melihat air mata isterinya.

Adrianna Wafiyah membalas pelukkan suaminya. Dia menangis semahu-mahunya di bahu Adam Rayyan. Segala persoalan mengenai Nazirah dibiarkan berlalu. Biarlah Adam Rayyan sendiri yang membuka kisah itu. Dia tidak mahu mengundang marah Adam Rayyan dengan pertanyakan perihal Nazirah.


Malam itu Adam Rayyan dan Adrianna Wafiyah melepaskan segala rindu yang terbuku di hati mereka. Perihal gambar itu telah terungkai. Kini Adam Rayyan bersyukur kerana disebalik gambar itu tidak seperti apa yang dia fikirkan.

2 comments:

  1. sukanya ketika baca n3 ini, sangat suka malah, semakin menarik...nak lagi, boleh ya...


    pembaca setia indonesia

    ReplyDelete
  2. Terima Kasih kerana setia membaca karya saya.. :)

    ReplyDelete