Friday, 24 January 2014

'Kenal Erti Cinta' Bab 10


BAB 10


Setelah membersihkan diri dan solat, Adrianna Wafiyah melangkah turun ke bawah meninggalkan Adam Rayyan yang sedang lena. Langkahnya diatur ke arah dapur untuk melihat Mak Limah.

“Ada yang boleh saya bantu?” Tegur Adrianna Wafiyah.

“Eh, Puan Wafi. Terkejut Mak Limah.”

“Tak payah nak berpuan-puan dengan saya Mak Limah. Panggil Wafi jer cukup.” Sapa Adrianna Wafiyah dengan ramah.

Mak Limah hanya tersenyum. Dalam hati dia memuji kecantikan dan kesopanan Adrianna Wafiyah. Sangat berlainan dengan perangai Nazirah bekas tunang tak jadi Adam Rayyan dulu. Dia berharap Adam Rayyan dapat membuka mata melihat kebaikan Adrianna Wafiyah. ‘ Pandai sungguh Datin Rohana memilih menantu.’ Pujinya lagi dalam hati.

“Mak Limah.” Adrianna Wafiyah melayangkan tangan di hadapan muka Mak Limah.

“Mak Limah berangan ya. Boleh pulak tersenyum sorang-sorang.” Usik Adrianna Wafiyah mesra.

“Eh, tak adalah. Wafi nak makan? Mak Limah boleh siapkan. Datin cakap tadi Wafi belum makan. Mak Limah tunggu juga tadi Wafi turun.” Tanya Mak Limah.

“Emm, tak payahlah Mak Limah, saya belum lapar lagi. Lagipun dah petang ni. Tunggu makan malam teruslah. Jimat sikit lauk pauk. He..he..he…”

“Ada pulak macamtu. Nanti masuk angin perut tu.”

“Kalau angin masuk, Wafi keluarkanlah. Ha..ha..ha..”Gurau Adrianna Wafiyah.

Mak Limah ketawa geli hati dengan perangai selamba menantu majikannya ini. Hati tuanya terhibur dengan kehadiran Adrianna Wafiyah. Walaupun masih baru dalam keluarga Datin Rohana, tapi Adrianna Wafiyah pandai membawa diri.

“Apa yang seronoknya ni Mak Limah?”

Mak Limah dan Adrianna Wafiyah serentak berpaling ke arah suara itu. Terkejut Adrianna Wafiyah melihat Adam Rayyan sudah terpacak disebelah peti sejuk dan sedang memerhatikannya.

“Tak ada apa Encik Ray. Saja bergurau dengan Wafi.”

“Sayang, jom ke depan. Mummy ajak berbual di taman. Mak Limah nanti siapkan minum petang dan bawa ke tanam ya.”

“Baiklah Encik Ray.”

“Awak pegilah dulu, saya nak tolong Mak Limah siapkan minum petang. Nanti saya keluar.”

Adam Rayyan sudah menahan geram dengan perangai Adrianna Wafiyah. Melihatkan wajah tegang Adam Rayyan, Mak Limah tahu anak majikannya itu sedang menahan marah. Lalu dia segera bersuara.

“Eh, tak apa Wafi, Mak Limah boleh siapkan sorang diri. Lagipun Mak Limah dah biasa. Wafi ikutlah Encik Ray ke depan.”

“Tapi Mak Limah..”

“Dah, tak payah tapi-tapi.”

Adrianna Wafiyah mengeluh sambil melangkah lemah mengekori Adam Rayyan yang telah pun berlalu ke depan. Sebenarnya Adrianna Wafiyah mahu mengelak dari bersama Adam Rayyan. Dia agak kekok terus-terusan berlakon di hadapan Datin Rohana. Seumur hidupnya inilah kali pertama dia menjadi pelakon. Walaupun bukan pelakon dalam erti kata sebenar.

Adrianna Wafiyah melabuhkan punggung di kerusi bertentangan dengan Adam Rayyan. Saja dia memilih kerusi itu kerana tidak mahu Adam Rayyan sewenang-wenangnya mengambil kesempatan ke atas dirinya. Adam Rayyan hanya memerhati isterinya dengan rasa sebal. Menyampah pun ada bila melihat perangai isterinya yang agak sombong kebelakangan ini. Dari kejauhan Adrianna Wafiyah dapat melihat ibu mertuanya sedang leka membelek bunga-bunga ros yang sedang mekar itu. Menurut Mak Limah, Datin Rohana memang penggemar kepada bunga-bunga ros. Semua bunga-bunga ros itu ditanam sendiri oleh Datin Rohana.

Adrianna Wafiyah yang sedar akan pandangan tajam Adam Rayyan segera menoleh ke arah Mak Limah yang sedang menghala ke arah mereka dengan membawa air dan kuih keria yang dibuatnya tadi. Datin Rohana menapak perlahan mendapatkan anak dan menantunya.

“Terima kasih Mak Limah.”

“Sama-sama Datin. Hari ni saya buat kuih keria kesukaan Datin.”

“Wahh, yeke, tentu sedap macam selalu. Kalau Wafi nak tahu Mak Limah ni kalau bab memasak memang terror. Kalah Chef Wan.”Puji Datin Rohana.

Mak Limah tersenyum sambil melangkah masuk ke dalam.Kembang-kucup hatinya dipuji begitu.

“Cantik bunga-bunga yang mummy tanam.” Puji Adrianna Wafiyah.

“Itulah penghibur hati mummy bila sunyi. Wafi pun suka ke dengan bunga-bunga ros tu?”

“Wafi suka tengok. Dekat kampong pun ibu suka tanam bunga jugak. Tapi Wafi ni sekadar suka tengok ajelah. Kalau suruh tanam, confirm mati semua bunga-bunga tu.” Seloroh Adrianna Wafiyah sambil ketawa kecil.

Datin Rohana tersenyum dengan gelagat Adrianna Wafiyah. Dia menoleh ke arah anak lelaki tunggalnya. Adam Rayyan hanya diam. Dia hanyut dalam dunianya sendiri.

“Hey Ray, diam aje.”

Adrianna Wafiyah hanya memerhati sambil menuang air ke dalam cawan. Adam Rayyan membetulkan duduknya sebelum bersuara.

“Dah mummy seronok sangat berbual dengan menantu kesayangan mummy ni. Sampai lupa Ray ada kat sini.” Jawab Adam Rayyan dengan rajuk yang dibuat-buat.

“Sejak bila pulak anak mummy ni pandai nak merajuk-rajuk.”

“Sejak berkahwin dengan menantu kesayangan mummy nilah.” Jawab Adam Rayyan sambil bangun dan duduk dikerusi sebelah Adrianna Wafiyah seraya memeluk bahu isterinya.

Adrianna Wafiyah menjadi geram dengan perangai ulat bulu Adam Rayyan. Tak habis-habis mengambil kesempatan. Dia cuba melepaskan diri dari pautan itu. Tapi Adam Rayyan mengemaskan pautan dibahu isterinya. Dia cuba memaniskan muka demi menjadi air muka suaminya. Kalau ikutkan hatinya mahu di siku mamat poyo ni. Pantang ada peluang mesti dirinya dipeluk sesuka hati.

Datin Rohana senang hati melihat layanan anaknya kepada Adrianna Wafiyah. Dalam hati dia berdoa moga hati anaknya terbuka untuk insan bernama Adrianna Wafiyah.

“Kalau iye pun tak payah la nak tunjuk manja kamu tu depan mummy. Kesian Wafi melayan perangai manja kamu tu.”

“Ala mummy, apa salahnya bermanja dengan isteri sendiri. Kan sayang?”

Adam Rayyan meramas mesra jemari Adrianna Wafiyah. Adrianna Wafiyah hanya tersenyum paksa. Dalam hati dia mengutuk perangai mengada Adam Rayyan. ‘Pandai sungguh mamat poyo ni berlakon.’ Kutuk Adrianna Wafiyah dalam hati.

Sedang mereka rancak berbual, sebuah kereta mini cooper memasuki perkarangan rumah. Kelibat Alisya Umaira melangkah keluar sambil membimbit beberapa beg kertas diperhati oleh mereka.

“Tengoklah adik kamu tu. Tak habis-habis shopping. Entah apa yang dibelinya.” Bebel Datin Rohana.

“Lisya mari minum petang sekali. Mak Limah buat kuih keria ni.” Tegur Datin Rohana.

Alisya Umaira melangkah ke taman sambil menjeling tajam ke arah Adrianna Wafiyah. Sakit hatinya setiap kali melihat wajah itu. Kerana Adrianna Wafiyahlah dia kehilangan lelaki yang amat dia cintai.

“Banyak shopping Lisya? Tegur Datin Rohana seraya melihat Alisya Umaira duduk di kerusi.

“Biasalah mummy. Nak cantik kan. Takkan nak pakai selekeh-selekeh jer. Nanti orang ingat Lisya ni datang dari ceruk kampong mana pulak.” Sinis Alisya Umaira menjawab sambil menjeling tajam ke arah Adrianna Wafiyah.

Adrianna Wafiyah tahu adik iparnya menujukan kata-kata tersebut untuk dirinya. ‘Teruk sangat ke pakaian yang aku pakai.’ Detik hati Adrianna Wafiyah. Sedih betul dimusuhi suami dan adik ipar sendiri.

“Hisy, kamu ni Lisya tak habis-habis menghina orang kampong. Kamu jangan lupa mummy pun asal dari kampong jugak.”

“Papelah mummy.” Alisya Umaira mencebik. Tangannya mencapai kuih keria yang terhidang dengan riak selamba.

“Abang tadi masa shopping Lisya terserempak dengan Kak Sally. Dia kirim salam kat abang. Katanya dia dah lama tak dengar khabar abang. Dia ada bagitahu Lisya yang…” Lisya menoleh ke arah mummynya sebelum meneruskan bicara.

“…yang Kak Nazirah akan balik ke Malaysia.” Perlahan tutur bicaranya. Takut juga kalau mummynya melenting.

Adrianna Wafiyah semakin tertanya-tanya siapa Nazirah ini sebenarnya.  Dia perasan wajah cuak Adam Rayyan. Hatinya semakin meluap-luap ingin tahu. Ingin bertanya pada Adam Rayyan, hanya akan mengundang herdikan sahaja. Wajahnya mula berkerut tanpa sedar.

Debaran dada Adam Rayyan semakin kuat berbunyi. Perkhabaran yang dibawa oleh Alisya Umaira membuatkan hatinya gelisah bercampur suka. Semua andaiannya tepat belaka. Apa yang dinantikan selama ini akan berada didepan matanya tidak lama lagi. Kelu lidah Adam Rayyan untuk bertanya lebih lanjut mengenai perihal Nazirah. Kini dia dalam delima. Kasihnya pada Adrianna Wafiyah yang semakin menggebu dan cintanya untuk Nazirah yang masih utuh.

“Jangan sesekali kamu sebut nama perempuan tu depan mummy.” Marah Datin Rohana tiba-tiba.

“Hisy, mummy ni tak baik cakap Kak Nazirah macamtu. Kita tak tahu penyebabnya. Mungkin dia ada alasan yang kukuh.” Alisya terusan back up Nazirah.

“Lagipun Kak Nazirah tu cantik, pandai bergaya. Taklah selekeh macam..” Tanpa rasa bersalah Alisya Umaira terus-terusan menyakiti hati Adrianna Wafiyah.

“Apa ni cerita pasal Nazirah pulak. Mummy tak suka. Alasan apa lagi kalau menghilangkan diri sampai bertahun-tahun. Buat apa nak lari jauh-jauh kalau dia tak bersalah. ” Celah Datin Rohana. Geram dia mendengar anaknya bercakap mengenai Nazirah. Risau juga jika menantunya berkecil hati dengan omongan Alisya Umairah.

Adrianna Wafiyah yang sedari tadi menjadi pemerhati terkejut dengan tutur kata Alisya Umaira yang seakan dituju untuk dirinya.

Adam Rayyan sudah panas hati dengan kata-kata Datin Rohana. Sewenang-wenangnya mummynya mengutuk Nazirah. Dia faham perasaan mummynya. Memang dia akui apa yang Nazirah lakukan terhadap keluarganya begitu teruk. Tapi entah mengapa hati kecilnya masih utuh untuk perempuan bernama Nazirah. Mungkin kerana Nazirah adalah gadis pertama yang mendapat tempat dihatinya.

“Emm, mummy Wafi masuk dalam dululah. Wafi tak sembahyang Asar lagi ni.”

Adrianna Wafiyah perlu melarikan diri dari terus menjadi mangsa sindiran. Dia harus mengelak sementara imannya masih kuat. Kalau tidak difikirkan ibu mertuanya ada sekali, sudah lama mulut Alisya Umaira dicilinya. Mahu dikorek mata gadis itu yang asyik menjeling kepadanya.

Adrianna Wafiyah melangkah dengan lemah. Nama Nazirah sedang bermain difikirannya.

Datin Rohana mengerti menantunya terasa hati dengan kata-kata dari anak-anaknya. ‘Kesian Wafi. Kerana desakan aku, dia terpaksa menghadapi semua ni. Adakah aku seorang yang kejam.’ Gumam hati Datin Rohana.

“Pegilah Wafi. Nanti terlepas waktu Asar.” Balas Datin Rohana sambil tersenyum memandang wajah menantunya.

Sebaik sahaja kelibat Adrianna Wafiyah menghilang ke dalam rumah. Datin Rohana mula bersyarah kepada anak-anaknya.

“Mummy tak suka korang bercakap macamtu depan Wafi. Lisya, mummy tengok kamu sekarang makin menjadi-jadi perangai kurang ajar kamu. Langsung tak reti nak hormat kakak ipar kamu tu. Ada mummy ajar anak-anak mummy berperangai kurang ajar macamni. Ray kamu pun sama jugak! Tak boleh ke kamu cuba terima Wafi. Jagalah perasaan dia jugak. Kamu ingat dia tak ada perasaan.”

Adam Rayyan dan Alisya Umaira hanya diam. Tidak berniat membalas kata-kata mummy meraka. Datin Rohana kalau dah marah tiada siapa yang berani mencelah. Kalau nak rasa sengatan Datin Rohana cubalah mencelah. Alisya Umaira makin meluap-luap marahnya terhadap Adrianna Wafiyah. Adam Rayyan pula mempamerkan wajah selamba. Dalam hati terdetik juga perasaan simpati terhadap isterinya. Tanpa sedar dia telah membabitkan isterinya dalam masalah hatinya. Baru sahaja Datin Rohana mahu menyambung katanya, tiba-tiba Datuk Razlan muncul.

“Apa yang dibualkan ni. Tegang saja muka masing-masing.” Sapa Datuk Razlan.

“Abang tanya la anak-anak abang ni. Pening kepala Ana dengan perangai diorang.”

“Ray masuk dulu mummy, papa” Ujar Adam Rayyan seraya bangun beredar.

“Lisya pun.” Alisya Umaira berlari anak meninggalkan tanam itu.

“Masing-masing lari nak lepas diri. Geram sungguh Ana dengan perangai mereka.” Datin Rohana merengus geram.

“Dah la tu, bawa-bawa bersabar. Awak tu dahlah ada darah tinggi. Nanti tak pasal-pasal naik darah tinggi awak tu.” Datuk Razlan cuba menyejukkan hati isterinya.

Datin Rohana mengeluh perlahan. Ada benar cakap suaminya. Dia menuang air ke dalam cawan lalu disuakan ke suaminya. Suasana tegang sebentar tadi beransur hilang bila suaminya menghiburkan hatinya. Namun hatinya tetap risau bila memikirkan Nazirah akan kembali.

Rupa-rupanya dari balkoni atas, Adrianna Wafiyah dapat melihat suasana tegang tadi. Cuma dia tidak dengar butir bicara mereka.

Tersenyum dia melihat kemesraan mertuanya. Alangkah indah kalau dia turut dapat merasai kebahagiaan seperti ibu mertuanya. Tanpa disuruh air mata mengalir ke pipi. Adrianna Wafiyah mengesat perlahan sambil berlalu ke dalam bilik.

“Hmm..hmm.”

Adam Rayyan berdehem. Dia perasan wajah monyok isterinya. ‘Mungkin dia terasa dengan kata-kata Lisya sebentar tadi. ‘Detik hatinya. Adrianna Wafiyah hanya memandang sekilas ke arah suaminya sebelum membelek majalah yang sedari tadi berada ditangannya. Dia cuba mengelak dari melihat dan berbicara dengan lelaki itu.

“Aku minta maaf bagi pihak Lisya.” Adam Rayyan menutur perlahan.

Adrianna Wafiyah mendongak kepala memandang wajah suaminya. Agak terkejut kerana untuk kesekian kalinya Adam Rayyan memohon maaf darinya. Entahkan ikhlas entahkan tidak.

“Saya tak kisah. Saya pun tak pernah mengharap untuk hadir dalam keluarga ni. Jadi kalau awak rasa terpaksa, begitu juga saya. Saya melakukan semua ini demi kasih saya kepada Ibu.” Adrianna Wafiyah mula sebak. Dia cuba menahan air matanya dari mengalir.

Adam Rayyan terkedu. Dengan tiba-tiba satu perasaan aneh menjalar dalam dirinya. Tetapi dengan pantas Adam Rayyan menyingkirkannya. Semakin dia cuba membenci Adrianna Wafiyah, sedikit demi sedikit hatinya semakin menerima kehadiran wanita ini.

Kini hatinya sudah berbelah bagi dengan perkhabaran dari adiknya sebentar tadi. Tetapi kenapa hatinya tidak gembira setelah tahu berita itu. Sedangkan selama ini dia memang mengharap Nazirah pulang ke pangkuannya.

3 comments: