Monday, 13 January 2014

"Kenal Erti Cinta" - Bab 9


BAB 9

Majlis perkahwinan kedua-dua belah pihak akan diadakan serentak di Hotel Mandarin Oriental Kuala Lumpur seminggu lagi. Adrianna Wafiyah dan Adam Rayyan akan pulang dahulu ke Kuala Lumpur bagi membuat segala persiapan. Puan Asmah dan sanak saudara yang lain akan menyusur kemudian ke Kuala Lumpur.

Adrianna Wafiyah menyusun baju-bajunya untuk dibawa bersama. Sakit hatinya kerana tiba-tiba selepas sarapan pagi tadi, Adam Rayyan menyuarakan hasrat hatinya untuk pulang awal ke Kuala Lumpur kerana kesiankan Datin Rohana seorang diri menyiapkan segala persiapan majlis resepsi mereka. Padahal kalau ikut rancangan asal mereka akan berada 3 hari di kampungnya. Ini baru 2 hari Adam Rayyan sudah hendak pulang.

‘Bukan aku tak tahu yang sebenarnya mamat poyo tu tak selesa tinggal kat rumah aku ni. Dasar anak orang kaya!’ Marah Adrianna Wafiyah dalam hati sambil memasukkan pakaiannya ke dalam beg dengan kasar.

“Kau dah siap ke belum ni. Lembab betul la kau ni. Aku dah lambat tahu tak.”

Adrianna Wafiyah tidak menjawab pertanyaan itu. Dia mengangkat beg pakaiannya ke ruang tamu tanpa mempedulikan pandangan Adam Rayyan.

“Ha, Wafi dah siap ke.?”

“Dah Ibu.”

“Ingat pesan ibu, jaga tingkah laku dekat rumah mertua kamu tu. Jangan buat perangai malas kamu tu.”

“Yela ibu, Wafi ingat. Takkan Wafi nak buat macamtu pulak.”

“Ibu ni mengingatkan saja. Ibu kenal sangat dengan perangai manja anak ibu ni.” Puan Asmah mencuit hidung anaknya.

Adrianna Wafiyah terus saja memeluk tubuh ibunya. Terasa sedih hatinya. Selepas ini tentu dia susah mahu bermanja dengan ibunya lagi. Adam Rayyan hanya memerhati drama sebabak diantara Adrianna Wafiyah dan Puan Asmah.

‘Beria betul minah ni menangis, macam lepas ni tak boleh nak jumpa lagi.’ Kutuk Adam Rayyan dalam hati.

“Dah, jangan sedih-sedih sayang, nanti ada masa kita balik lagi jenguk ibu.” Adam Rayyan pura-pura menenangkan Adarianna Wafiyah.

“Betul cakap Rayyan tu Wafi. Dah jangan nangis-nangis lagi. Malu sikit dekat suami kamu tu.”

“Ibu jaga diri tau. Jangan kerja teruk sangat.”

“Yela, pandai la ibu nak jaga diri. Wafi jangan risau.”


Setelah bersalaman dengan Puan Asmah, kereta BMW X6 Adam Rayyan meluncur laju meninggalkan perkarangan rumah Puan Asmah. Adrianna Wafiyah beberapa kali membetulkan duduknya. Terasa sengal-sengal urat sendinya gara-gara tidur dibawah semalam. ‘Kalau macam ini sampai bila-bila, mahu patah tulang aku.’ Detik hati Adrianna Wafiyah.

            Adam Rayyan hanya diam kerana fokus pada jalan raya. Sekilas dia memerhati Adrianna Wafiyah di sebelah tempat duduk penumpang.

‘Cis, asal naik kereta aku je membuta. Tahu la kereta aku ni mewah. Sedap je nak membuta.’ Detik hati Adam Rayyan.

Wajah ayu Adrianna Wafiyah diteliti penuh minat. ‘Cantik jugak minah ni’. Adam Rayyan menyentuh lembut pipi Adrianna Wafiyah yang gebu itu. Tiba-tiba lahir satu perasaan aneh terhadap Adrianna Wafiyah. Tetapi hanya seketika sebelum  Adam Rayyan tersedar atas keterlanjurannya. Entah apa yang menghasut dirinya untuk berbuat begitu.  ‘Ni kalau minah ni sedar mesti perasan aku syok dekat dia.’ Detik hati Adam Rayyan.

Dua jam setengah perjalanan dari Melaka ke Kuala Lumpur, akhirnya Adam Rayyan dan Adrianna Wafiyah sampai ke banglo mewah milik Datuk Razlan. Pintu pagar terbuka secara automatik. Kereta Adam Rayyan terus masuk ke perkarangan banglo agam itu.

“Wei, bangunlah dah sampai. Membuta je tahu!”

Kejut Adam Rayyan dengan kasar. Adrianna Wafiyah terpisat-pisat bangun. Agak terkejut dengan suara petir Adam Rayyan. Setelah mengambil bagasi miliknya, Adam Rayyan terus berlalu masuk ke dalam rumah tanpa mempedulikan Adrianna Wafiyah.

Terkial-kial Adrianna Wafiyah membimbit beg pakaiannya yang agak berat itu, mengekori langkah Adam Rayyan yang laju itu. Adrianna Wafiyah masih tercegat di muka pintu dengan wajah yang teruja melihat banglo yang tersegam indah.

“Hey, masuklah! Apa lagi yang tercegat dekat situ? Kau nak aku dukung ke?”

Beg pakaian Adrianna Wafiyah terlepas dari tangan kerana terkejut dengan herdikan itu. Rasa sebak menyerang jiwanya tiba-tiba. Sudahlah dia masih baru di banglo ini, Adam Rayyan sudah menunjukkan taringnya kembali.  Adam Rayyan hanya membuang pandang bila melihat wajah sedih Adrianna Wafiyah. Dalam hati sebenarnya terdetik juga rasa simpati melihat wajah sedih Adrianna Wafiyah bila dia mengherdik tadi. Tapi Adam Rayyan segera menyingkirkan perasaan itu. Dia tidak boleh jatuh cinta dengan Adrianna Wafiyah. Itu janjinya pada diri.

“Eh, mummy tak tahu korang balik hari ni?”

Adam Rayyan segera menyalami tangan Datin Rohana. Begitu juga dengan Adrianna Wafiyah.

“Ray ada hal mummy. Papa ngan Lisya mana mummy?”

“Papa biasalah kalau hari minggu macam ni main golf la dia dengan kawan-kawannya. Lisya pulak pagi-pagi lagi dah keluar.”

“Ray naik atas dulu la mummy.”

Adam Rayyan lantas mengambil beg pakaiannya dan terus melangkah menaiki anak tangga tanpa mempedulikan Adrianna Wafiyah.

“Ray, tak kan nak tinggalkan isteri kamu macam tu aje. Ajak la Wafi sekali.”

“Pandailah dia mummy nak naik nanti.”

Adam Rayyan terus menghilang ke dalam bilik. Datin Rohana agak malu dengan Adrianna Wafiyah melihat sikap anaknya itu. Kesian Adrianna Wafiyah. Tiba-tiba rasa bersalah mula menyerbu hatinya. Bimbang jika anaknya mengotakan janji tidak mahu menerima Adrianna Wafiyah dihatinya.

“Erm, Wafi, jangan ambik hati dengan Ray. Pergilah rehat kat atas, bilik Ray disebelah tangga tu.Nanti mummy suruh mak Limah siapkan makan tengahari.”

“Tak adalah mummy. Wafi tak ambik hati pun. Mungkin abang Ray penat . Wafi naik dulu ya mummy.”

Adrianna Wafiyah melangkah ke bilik yang dimaksudkan. Perasaan sedih dan malu dengan Datin Rohana terhadap layanan Adam Rayyan kepadanya menghimpit jiwa Adrianna Wafiyah. Bukanlah layanan yang istimewa diharapkan oleh Adrianna Wafiyah. Cukuplah sekadar Adam Rayyan menghormatinya sebagai seorang isteri terutama dihadapan keluarga Datin Rohana.

Sudahlah adik iparnya tidak menyukai dia berkahwin dengan Adam Rayyan. Kini suami sendiri pun tidak suka pada dirinya. Apa salahnya pada mereka. Bukan dia yang minta untuk berkahwin dengan Adam Rayyan. Tahukah Adam Rayyan yang Adrianna Wafiyah juga terpaksa menerima perkahwinan ini. Nasib baiklah layanan Datuk Razlan dan Datin Rohana baik terhadap dirinya. Alangkah bahagia jika Adam Rayyan turut menerima dirinya.  Dalam hati Adrianna Wafiyah berdoa moga ada sinar kebahagiaan untuknya di dalam banglo mewah ini. Adrianna Wafiyah memulas perlahan tombol pintu dan melangkah perlahan-lahan memasuki bilik Adam Rayyan. Adam Rayyan hanya membuang pandang apabila ternampak kelibat Adrianna Wafiyah melangkah masuk ke biliknya. Adrianna Wafiyah berdiri tercegat di hadapan pintu bilik. Kekok dengan layanan Adam Rayyan yang tidak mempedulikan kehadirannya di situ.

“Yang kau asyik tercegat depan pintu tu kenapa?”

“Huh, saya..”

“Hurm, nak bercakap pun lembab. Saya, saya. Kau dengar sini baik-baik, aku taknak kau mengadu apa-apa dekat mummy. Kalau aku dapat tahu kau mengadu apa-apa nahas kau aku kerjakan!” Ugut Adam Rayyan.

Air mata yang ditahan dari tadi akhirnya mengalir dengan sendirinya. Hati Adrianna Wafiyah begitu sedih dengan layanan Adam Rayyan. Kalaulah ibu tahu anaknya dilayan begini tentu ibunya sedih.

“Tak habis-habis menangis. Macam budak-budak. Rimas tahu tak!”

Adrianna Wafiyah pantas menyeka air matanya. Sendunya cuba ditahan agar Adam Rayyan tidak dengar. Bimbang jika tangisnya menngundang marah Adam Rayyan.

Adam Rayyan cuba menyembunyikan perasaan yang semakin bercambah terhadap Adrianna Wafiyah. Simpati hatinya melihat air mata Adrianna Wafiyah. Tetapi Cuma seketika.  Tidak, dia tidak boleh menduakan Nazirah. Walaupun Nazirah telah meninggalkannya di hari pertunangan mereka, Adam Rayyan tetap mencintai wanita itu. Disebabkan itulah dia menidakkan kehadiran Adrianna Wafiyah dalam hidupnya. Perasaan bersalah kerana memberikan layanan buruk kepada Adrianna Wafiyah membelengu jiwanya. Kesian Adrianna Wafiyah. Tetapi hatinya belum dapat melupakan Nazirah keran saban hari dia mengharap Nazirah akan pulang ke pangkuannya.

 “Kau boleh guna almari hujung sekali. Susun baju-baju kau kat situ. Tapi ingat, jangan sesekali kau usik barang-barang aku dalam bilik ni.”

“Terima kasih awak.”

“Lagi satu, kau tak boleh tidur di katil aku. Kau boleh pilih mana-mana pot yang kau suka untuk tidur.”

“Sudah aku jangka. Habis la kau Wafi mahu patah tulang-belulang kau lepas ni.” Rintih hati Adrianna Wafiyah.

"Kenal Erti Cinta" Bab - 8


BAB 8


Usai membersihkan diri, Adrianna Wafiyah menunaikan solat maghrib. Kelibat suaminya langsung tidak kelihatan di ruang bilik itu. ‘Barangkali dia ada di luar bersama sanak saudara yang lain.’ Detik hati Adrianna Wafiyah.

Selasai berdoa, Adrianna Wafiyah terdengar pintu bilik terkuak. Muncul Adam Rayyan dengan wajah yang masam mencuka. Terus sahaja Adam Rayyan melabuhkan punggung dibirai katil. Adrianna memandang sekilas ke arah Adam Rayyan yang kelihatan bersahaja itu.

Hm, kalau awak nak mandi tuala saya dah sediakan dalam bilik air.”

Adrianna Wafiyah bersuara memecah kesunyian antara mereka.

Hmm, thanks.

Adam Rayyan bingkas bangun menuju ke kamar mandi. Dia agak kekok sebenarnya berduaan dengan Adrianna Wafiyah. Kelu lidahnya untuk bercakap.

Selang 30 minit, Adam Rayyan keluar dari bilik air dengan hanya bertuala paras pinggang. Nasib baik Adrianna Wafiyah tiada di dalam bilik sebaik dia keluar. Kalau tak mahu Adrianna Wafiyah terkejut melihat tubuhnya yang agak seksi itu. Jangan tergoda sudah.!

Adam Rayyan segera membentangkan sejadah untuk menunaikan solat maghrib kerana takut terlepas waktu. Selesai salam terakhir, Adrianna Wafiyah muncul di muka pintu.

“Awak, ibu ajak makan.”

“Hm.”

Adam Rayyan melipat sejadah lantas membuntuti isterinya ke ruang tamu. Sanak saudara Adrianna Wafiyah sudah beransur pulang. Yang tinggal hanya maklong Adrianna Wafiyah iaitu kakak kepada Puan Asmah.

“Ha, Rayyan duduk la, jangan segan-segan. Dah jadi satu keluarga dah pun.”

Tegur maklong. Adam Rayyan hanya tersenyum sebelum duduk bersila di atas lantai yang beralaskan tikar mengkuang. Dia berasa senang hati dengan layanan dari keluarga Adrianna Wafiyah. Begitu ramah berbual dengannya. Tidak sombong seperti Adrianna Wafiyah. ‘ Ah, salah dirinya juga siapa suruh dia menyombong dengan minah kampung ni.’ Gumam hati Adam Rayyan.

“Maaflah Rayyan, rumah ibu ni kecik, meja makan pun tak muat kalau nak makan ramai-ramai. Tak apa ke Rayyan duduk bersila ni?”

“Eh, tak mengapa ibu. Bukan saya tak biasa pun duduk bersila macamni. Janganlah ibu nak berasa segan pulak dengan saya. ” Ramah Adam Rayyan berkata.

Adrianna Wafiyah keluar menatang air, lalu duduk di sebelah Adam Rayyan.

“Wafi  ambik ikan tu untuk suami kamu ni. Makan Rayyan jangan malu-malu.”

“Eh, tak apa ibu, saya boleh ambik sendiri.”

Adrianna Wafiyah mengambil juga ikan untuk Adam Rayyan selepas melihat isyarat mata dari ibunya.

Thanks sayang.”

Huk..huk..huk..”

Adrianna Wafiyah tersedak bila Adam Rayyan memanggilnya sayang. Terasa perit tekaknya. ‘Dah buang tebiat ke mamat poyo ni’. Detik hati Adrianna Wafiyah.

“ Ish, sayang ni lainkali makan tu hati-hati lah.”

Adam Rayyan mengusap lembut belakang isterinya. Puan Asmah dan ahli keluarga yang lain hanya tersenyum melihat kemesraan Adrianna Wafiyah dan Adam Rayyan. Adrianna Wafiyah terasa wajahnya sudah membahang dengan aksi romantis Adam Rayyan. Dia cuba beriak biasa. Padahal hatinya sudah melantun-lantun mahu keluar. Agak pelik dengan sikap Adam Rayyan yang tiba-tiba berubah baik begini.

‘Pandai betul kau berlakon kan.’ Detik hati Adrianna Wafiyah.

Adrianna Wafiyah menjeling maut ke arah Adam Rayyan setelah yakin keluarganya tidak perasan. Adam Rayyan hanya beriak selamba. Terasa mahu ketawa melihat wajah isterinya berubah menjadi merah bila dia memanggil isterinya dengan panggilan sayang. Lucu.

 Setelah selesai mengemas dan mencuci pinggan Adrianna Wafiyah terus beransur ke bilik. Di lihat Adam Rayyan sedang rancak berbual dengan ahli keluarganya di ruang tamu. Sekali sekala kedengaran suara Adam Rayyan ketawa. Entah apa yang mereka bercerita. Tiba-tiba dia cemburu melihat kemesraan Adam Rayyan dengan keluarganya. ‘Jangan Ibu tunjuk gambar-gambar aku masa kecik sudahlah. Malu Adrianna Wafiyah kerana masa kanak-kanak dahulu kulitnya hitam kerana bermain panas. Sudah dewasa barulah kulitnya putih melepak. Maklumlah dah besar mestilah pandai menjadi kulit.’ Gumam hati Adrianna Wafiyah sambil berlalu ke biliknya.

Adrianna Wafiyah terus membuka pintu bilik. Tiada hati mahu menyertai mereka di ruang tamu. Malunya masih bersisa dengan ahli keluarganya disebabkan sikap Adam Rayyan yang terlebih caring sebentar tadi.

“Pandai betul kau berlakon kan. Boleh pulak kau tersenyum ketawa dengan ahli keluarga aku. Kalau berdua dengan aku, bukan main masam lagi muka kau tu.” Adrianna Wafiyah memintal-mintal hujung bantal. Agaknya dia membayangkan sedang memulas telinga Adam Rayyan.

“Kau bercakap dengan sapa ni, hantu ke?” Soal Adam Rayyan pelik.

Tersentak Adrianna Wafiyah dengan kehadiran Adam Rayyan secara tiba-tiba di dalam bilik ini. Bila masa Adam Rayyan masuk. Dia langsung tak dengan pintu bilik dibuka.

“Suka hati sayalah nak bercakap dengan siapa pun. Mulut saya”

Kata Adrianna Wafiyah menutup malu. ‘Bila masa pulak la mamat poyo ni boleh tercongok depan pintu bilik ni.’ Gumam hatinya.

“Dah pandai sekarang ni balas cakap aku. Kesian mummy aku dapat menantu gila macam kau ni. Cakap sorang-sorang. Dah la selekeh, gila pulak tu.” Adam Rayyan sengaja mencetus perang mulut dengan Adrianna Wafiyah.

Adam Rayyan melabuhkan tubuhnya di atas katil Adrianna Wafiyah.  Jelingan maut diberikan kepada Adam Rayyan. ‘Sukahati dia saja cakap aku gila!’ Gumam hati Adrianna Wafiyah.

“Kalau saya gila, buat apa kahwin dengan saya. Kenapa tak kahwin dengan girlfriend seksi awak tu.”

Adam Rayyan mengetap gigi. Geram sungguh dengan bicara yang keluar dari bibir comel Adrianna Wafiyah. ‘Nasib baik kau comel, kalau tak memang malang nasib aku berkahwin dengan kau.’ Jerit hati Adam Rayyan.

“Kau tidur bawah, jangan sesekali kau berangan nak tidur sebelah aku. Tutup lampu tu, aku tak boleh tidur dalam terang.”

Adam Rayyan terus sahaja memejamkan matanya. Adrianna Wafiyah hanya memerhati dengan hati yang sakit. Rasa puas hatinya dapat membalas kata-kata sinis si mamat poyo. Pasti sekarang Adam Rayyan sedang menahan geram. Dia tersenyum sinis.

‘ Katil aku dia dah buat macam katil dia. Patut dia yang tidur bawah. Tak malu! Sabar Wafi..sabar.’ Kutuk Adrianna Wafiyah dalam hati. Benci!

Adrianna Wafiyah mengambil bantal dan selimut lalu merebahkan diri di atas karpet. ‘Nak minta toto dengan ibu pasti dia akan curiga.’ Detik hatinya. Disebabkan badannya letih dengan kenduri siang tadi senang saja Adrianna Wafiyah melelapkan mata. Malas mahu memikirkan perangai suaminya itu.

Biarlah dia beralah kali ini. Untuk apa bertikam lidah dengan Adam Rayyan. Tiada apa manfaat yang dia dapat melainkan dosa kering. Jadi untuk tidak menjadi isteri derhaka, lebih baik dia bersabar. ‘Bersabarlah wahai hati.’

"Kenal Erti Cinta" - Bab 7


BAB 7


Hari ini adalah hari yang paling bahagia bagi seorang perempuan yang akan bergelar isteri. Tetapi tidak pada Adrianna Wafiyah. Bagi dia hari ini adalah hari kemusnahan hidupnya. Kalau dia tak terserempak dengan Adam Rayyan dan perempuan gedik itu, mungkin sahaja dia akan cuba untuk mencintai bakal suaminya. Kini hatinya remuk berkecai ditambah lagi dengan perjanjian yang dibuat oleh Adam Rayyan. Dirasakan maruahnya sedang dipijak-pijak oleh Adam Rayyan. Tapi dia tiada keberanian mahu membatalkan majlis ini. Tiba-tiba dia teringat kembali perjumpaannya dengan Adam Rayyan beberapa hari sebelum hari pernikahan mereka.

“Aku nak kau sign surat perjanjian ni.” Adam Rayyan menyerahkan surat itu kepadanya.

Berkerut dahi Adrianna Wafiyah. Sungguh dia tidak mengerti tujuan lelaki itu. Kertas yang dihulurkan oleh Adam Rayyan disambut jua. Satu persatu isi surat itu dibaca.

1.      Tidak boleh membuka cerita rumah tangga kepada orang lain.

2.      Perlu menjaga maruah keluarga Datuk Razlan.

3.      Tidak boleh tidur sekatil

4.      Tidak boleh masuk campur urusan Adam Rayyan.

5.      Tidak perlu bercakap jika tiada keperluan

6.      Tidak boleh tuntut sebarang hak selepas bercerai.

“Ya Allah, dugaan apakah ni. Kenapa sampai perlu buat surat perjanjian bagai.” Gumam Hati Adrianna Wafiyah. Perkataan cerai itu begitu merobek hatinya. Takkan Adam Rayyan mahu menceraikannya. Tak pernah terlintas difikirannya akan menjadi janda secepat itu. Sungguh dia tidak faham dengan permainan Adam Rayyan.

            “Setakat ni, itu saja yang terlintas dalam otak aku. Aku akan tambah perjanjian ini jika perlu.”

            “Macamana kalau saya nak keluar.”

            “Kau boleh pergi kemana saja kau nak pergi. Aku tak ada halangan. Kau boleh buat apa kau suka.”

Adrianna Wafiyah menandatangani surat perjanjian itu dengan hati yang remuk. Tidak disangka begini sekali layanan Adam Rayyan terhadap dirinya. Sedih!

Petang ini Adrianna Wafiyah akan sah bergelar isteri kepada Adam Rayyan. Hatinya langsung tidak gembira. Rumah Puan Asmah sudah dipenuhi dengan sanak saudara. Persiapan perkahwinan sudah siap sepenuhnya. Mujurlah keluarga Datin Rohana banyak membantu. Jika nak diharapkan Puan Asmah sendiri nak buat segala persiapan memang tidak sempat dia nak kumpul duit dalam masa 3 bulan. Memang mustahil memandangkan dia hanya seorang ibu tunggal.

Disebabkan keluarga Datin Rohana sendiri yang ingin segera majlis ini berlangsung, maka keluarga Datin Rohana bertanggungjawab sepenuhnya untuk menyiapkan segala persiapan. Walaupun Puan Asmah sebenarnya agak berat hati mahu menerima huluran dari Datin Rohana. Hanya majlis pernikahan dan majlis doa selamat sahaja yang akan dibuat sebelah pihak pengantin perempuan. Majlis resepsi kedua-dua belah pengantin akan diadakan serentak di Kuala Lumpur atas desakan Datin Rohana kerana dia tidak mahu membebankan Puan Asmah.

Ramai saudara mara terdekat dari sebelah Puan Asmah dan Datin Rohana memenuhi ruang masjid. Adrianna Wafiyah melangkah keluar dari kereta dengan berhati-hati. Maklumlah baju yang dia pakai begitu sarat dengan manik-manik. Ini semua adalah rekaan oleh ibu mertuanya.

“Selamat pengantin baru Wafi. Aku harap kau akan bahagia sampai bila-bila. Sofea memeluk erat sahabatnya di perkarangan masjid. Dia terus ke masjid menunggu sahabatnya.

“Fea, aku…”

Shhh..,janganlah sedih Wafi. Kalau kau nangis, nanti aku pun ikut nangis. Cair mekap kau nanti. Banjir masjid ni dengan air mata kau.” Sofea membuat mimik wajah sedih.

Sofea memeluk erat sahabatnya sambil menggosok lembut belakang Wafi untuk menyalurkan sedikit semangat buat sahabatnya. Dia tahu perasan Adrianna Wafiyah. Pasti sahabatnya itu sedang berperang dengan perasaan sendiri. Dia tidak dapat menafikan Adrianna Wafiyah memang seorang anak yang taat sehinggakan sanggup menerima Adam Rayyan demi menjaga hati ibu tersayang. Dia tersenyum sambil membetulkan veil Adrianna Wafiyah.

“Terima kasih Fea, kau tolong doakan kebahagiaan aku ya.” Adrianna Wafiyah meminta penuh pengharapan.

Sofea tersenyum sambil mengelus lembut tangan Adrianna Wafiyah.

“Ya, aku pasti akan doakan kau. Dah jom masuk. Semua orang tak sabar nak tengok pengantin vogue ni.” Sofea mengiring Adrianna Wafiyah melangkah masuk ke dalam masjid. Penuh berhati-hati Adrianna Wafiyah melangkah.

Adrianna Wafiyah menarik nafas dalam-dalam. Semua mata tertumpu kepada dia dan Adam Rayyan. Peluh yang merenik di dahi segera disapu dengan tisu. Wajah Adam Rayyan di hadapan jurunikah dipandang sekilas oleh Adrianna Wafiyah. Tiada langsung riak cemas di wajah Adam Rayyan, yang ada hanya wajah tiada perasaan. Masam mencuka!.

Adam Rayyan buat-buat selamba dihadapan jurunikah. Hakikat sebenar dadanya berdegup kencang, agaknya beginilah yang berlaku saat seseorang itu diijabkabulkan. Tangannya terasa sejuk beku. Wajah Adrianna Wafiyah dipandang sekilas. ‘Cantik, mungkin seri pengantin barangkali. Sesuai sungguh baju itu dibadannya”. Puji Adam Rayyan dalam hati.

Suasana hening di dalam masjid, semua tetamu hadir yang hadir menanti saat Adrianna Wafiyah dan Adam Rayyan diijabkabulkan. Adam Rayyan segera mencapai tangan jurunikah dihadapannya.

“Aku terima nikahnya Adrianna Wafiyah Binti Zainal dengan mas kahwinnya lapan puluh ringgit tunai.”

Apabila ucapan itu terbit dengan lancarnya dari mulut Adam Rayyan, dan disahkan saksi, maka terjalinlah ikatan yang halal di antara kedua-dua mempelai.

Adam Rayyan yang segak berbaju melayu itu melangkah menghampiri Adrianna Wafiyah yang ayu duduk di atas kusyen empuk bertakhtakan benang perak. Adam Rayyan diam seketika saat melihat raut wajah Adrianna Wafiyah yang sudah bercalit mekap. Lain benar wajah Adrianna Wafiyah sekarang berbanding pada hari-hari biasa. Kecantikan aslinya terserlah dengan palitan mekap. Datuk Razlan segera mencuit bahu Adam Rayyan untuk menyarungkan cincin ke jari manis Adrianna Wafiyah. Leka betul Adam Rayyan menilik wajah isterinya. Kata tak suka.

Adam Rayyan tersedar, lalu dengan pantas dia mengambil tangan Adrianna Wafiyah yang terhias dengan inai kemerah-merahan di setiap jari gadis itu. Jari manis isterinya segera disarungkan cincin bertakhtakan berlian itu. Adrianna Wafiyah menyambut tangan suaminya lantas dicium lembut. Berdegup jantung Adam Rayyan saat Adrianna Wafiyah mencium tangannya. Perasaan apakah ini. Dia memejamkan matanya. Seolah-olah sedang nikmati perasaan yang sedang menjalar dalam salur darahnya.

“Okey cium dahi pulak, nak ambik gambar ni.”

Adam Rayyan tersentak dari lamunan. Jurugambar yang diupah khas itu segera memberikan arahan. Nak atau tak nak Adam Rayyan terpaksa mencium dahi isterinya, sesaat saja sebelum menjauhkan wajahnya dari Adrianna Wafiyah.

“Eh, laju sangatlah. Tak sempat nak ambik gambar. Lama la sikit janganlah malu-malu.” Ada pula suara-suara lain yang menyuruh. Mungkin untuk mengambil gambar majlis itu sebagai kenangan barangkali.

Adrianna Wafiyah terasa membahang saat bibir Adam Rayyan menyentuh lembut dahinya buat kali kedua. Terasa kebas seluruh wajahnya dengan tetamu-tetamu yang hadir. ‘Adam Rayyan ni boleh pulak buat selamba. Tak malu ke.’ Kata hati Adrianna Wafiyah. Mesti dia dah biasa cium perempuan. Sebab itu perasaan malu tiada dalam dirinya. Desis hati Adrianna Wafiyah lagi.

Setelah selesai sesi bergambar, Adam Rayyan dan Adrianna Wafiyah menghampiri Puan Asmah. Tangan tua itu dicium lembut tanda hormat kepadanya.

“Jaga anak ibu baik-baik.” Puan Asmah berpesan saat Adam Rayyan menyalami tanganya. Bahu menantunya dipegang lembut. Giliran Adrianna Wafiyah pula mencium tangan ibunya. Perasaan sebak bertandang ke hatinya. Sedih melihat ibu tersayang.

“Dah.. jangan sedih-sedih. Ibu harap Wafi jadi isteri yang baik kepada menantu ibu ini.”

Puan Asmah lantas memeluk erat tubuh anaknya. Adrianna Wafiyah tersendu dalam tangisnya tidak mampu bersuara. Hanya kepala dianggukkan tanda faham akan nasihat ibunya. Kedua-dua mempelai beralih ke arah keluarga pengantin lelaki. Tangan kedua-dua ibubapa Adam Rayyan di salam. Begitu juga dengan tetamu-tetamu yang hadir dan tidak terkecuali dengan adik Adam Rayyan, Alisya Umaira. Saat Adrianna Wafiyah bersalam dengan Alisya Umaira. Tangannya tidak bersambut oleh Alisya Umaira. Hanya jelingan maut yang diberikan oleh adik iparnya itu.

“Kau jangan mimpi nak hidup senang dalam keluarga aku. Sebab kau tak layak utuk bergandingan dengan abang aku.”

Alisya Umaira berkata saat Adrianna Wafiyah ingin keluar dari masjid itu. Dirinya agak terkejut dengan layanan adik iparnya. Pelik kerana dirinya begitu dibenci oleh Adam Rayyan dan adiknya. Macam berkomplot pun ada jugak.


Monday, 30 December 2013

"Kenal Erti Cinta" - Bab 6


BAB 6


            Sejak peristiwa terserempak dengan Adrianna Wafiyah, hati Adam Rayyan tidak tenteram. Wajah lembut Adrianna Wafiyah sentiasa muncul dalam fikirannya. Adam Rayyan juga berasa malu untuk berhadapan dengan Adrianna Wafiyah apatah lagi untuk bercakap. Disebabkan perasaan itulah dia terus mengheret Lisa agar segera beredar dari situ. Risau jika Adrianna Wafiyah memandang serong terhadap dirinya. Mungkin juga Adrianna Wafiyah akan menganggap Lisa adalah kekasih hatinya.

            Semenjak dipermainkan oleh Nazirah, Adam Rayyan kerap bertukar teman wanita. Semua itu hanya untuk menghilangkan bayangan Nazirah. Tiada seorang gadis pun yang melekat di hatinya selepas Nazirah.

            “Ishh..apsal aku asyik fikir pasal perempuan kampung tu. Lantak dia  lah nak fikir apa pun pasal aku.! Tak boleh..aku tak boleh suka pada dia. Dia bukan taste aku. Hati aku hanya untuk Nazirah.” Adam Ryyan membulatkan hatinya.

“Tapi kau jangan lupa yang dia akan jadi isteri kau. Macamana kau nak mengelak darinya. Tak mustahil satu hari nanti kau akan jatuh cinta dengannya.” Suara hatinya berkata.

“Tidak..tidakkk..aku takkan jatuh cinta dengan dia.” Adam Rayyan menutup telinga dari mendengar suara hati itu.

Lama kelamaan suara itu hilang dan Adam Rayyan tertidur.  Keesokkan pagi Adam Rayyan bangun dan bersiap awal untuk ke pejabat. Matanya kelihatan sembab kerana tidur lewat semalam. Tiba-tiba handphone Adam Rayyan berbunyi menandakan ada SMS masuk.

Morning sayang.. hari nie you dah janji nak temankan I shopping right?  Can’t wait to see you. Luv u!

          Adam Rayyan mencemikkan wajahnya. Geli-geleman dia dengan perangai menggoda Lisa. Semua perempuan yang dia keluar hanyalah teman untuk menghiburkan hatinya. Tidak lebih dari itu. Dia tidak benarkan mana-mana perempuan mencemarkan hatinya. Dia tetap menanti Nazirah. Biarpun beribu kali hatinya disakiti. Biarpun dia sedar dirinya bodoh kerana membiarkan Nazirah mempermainkan perasaannya.

 Sorry Lisa hari nie I busy. Bye!. Adam Rayyan membalas mesej Lisa.

  “Dasar pisau cukur. Semua perempuan  sama saja. Pantang jumpa lelaki kaya. Pasti akan dikikisnya.” Gumam hati Adam Rayyan.

Entah kenapa sejak akhir-akhir ini Adam Rayyan tidak berminat untuk keluar dengan Lisa ataupun perempuan-perempuan lain yang dia kenal. Masanya banyak dihabiskan di pejabat. Papa dan mummynya jugak gembira melihat perubahan dia. Ini lebih meyakinkan hati mereka kerana membuat pilihan yang tepat dalam memilih calon menantu.

Mereka tidak tahu padahal kepala Adam Rayyan kusut memikirkan tempat Nazirah akan digantikan dengan perempuan kampong itu. Kerana itulah penyebab dia malas mahu berhibur dengan kawan-kawannya. Dia risau kalau tiba-tiba Nazirah pulang ke tanah air. Pasti gadis kesayangannya kecewa.

Morning mummy, papa

Adam Rayyan mencium lembut pipi Datin Rohana.

Morning, awal anak mummy bangun hari ni. Biasanya kalau mummy tak bising ditelinga Ray, jangan harap Ray nak bangun.”

Mummy ni bangun lewat salah, dah bangun awal pun bising jugak.” Rungut Adam Rayyan.

“Entah awak ni, dah bagus la tu kalau Ray ni dah belajar bangun awal. Awak masih nak bebel tu kenapa”

“Saya bukan membebel bang, saya cuma pelik. Sebelum ni bukan main susah nak tengok dia sama-sama sarapan dengan kita”

Datin Rohana sudah menarik muncung. Datuk Razlan tersenyum melihat rajuk si isteri. Pantang di usik cepat sahaja merajuknya datang.

“ Yela sayang, abang gurau sikit pun nak merajuk. Malu sikit depan anak-anak ni.” Datuk Razlan mencuit dagu Datin Rohana.

Tersenyum Adam Rayyan melihat kemesraan mummy dan papanya. Sentiasa menyulam kasih. Kenapa Nazirah tidak mahu jadi seperti mummynya. Kalaulah itu terjadi tentu sekarang dia sedang bahagia dengan Nazirah. ‘Ah! Kenapa kau masih mengharapkan cinta Nazirah. Bukaklah mata hati kau Rayyan. Nazirah sudah mencurah racun kedalam benih cinta yang kau semai.’ Rupa-rupanya suara itu hanya dijerit dalam hati.

“Ish, abang ni tak adanya saya nak merajuk la. Ni Ray, adik kamu belum bangun ke. Yang tu lagi sorang susah sangat nak bangun pagi. Apa nak jadi dengan anak dara abang tu”

Belum sempat Adam Rayyan membuka mulut, Alisya Umaira sudah turun ke ruang makan.

“ Kenapa pagi-pagi lagi dah sebut nama Lisya ni.”

“Ha..Lisya hari ni tak kerja ke? Tak bersiap pun.” Datin Rohana menyapa.

“Lisya pegi lambat sikit mummy hari ni. Ada meeting di Kedah. ”

Alisya Umaira menarik kerusi dan melabuhkan punggung disebelah abangnya.

“Itulah papa dah suruh kerja dengan papa, Lisya jual mahal. Kalau tak, tak perlu nak susah payah kesana-ke mari.” Adam Rayyan tiba-tiba bersuara.

“Hisy, taknak Lisya, entah-entah lagi teruk Lisya kena buli dengan abang. Nanti semua kerja Lisaya buat. Abang duk goyang kaki”

“Sukahati cakap abang macamtu. Ingat abang ni kaki pembuli ke” Balas Adam Rayyan sambil menunjal dahi adiknya.

“Aduhh, sakitlah.” Alisya Umaira mencebik. Geram betul dengan perangai abangnya yang suka menunjal dahinya. Lama-lama boleh biul.

“Sikit aje pun. Lisya ni manja sangat.” Seloroh Adam Rayyan. Maki giat dia menyakat adiknya.

“Dah-dah, tak payah kamu nak menyakat adik kamu. Kata ada meetingkan cepatlah pegi.” Kata Datuk Razlan.

Alisya Umaira mengangkat jari tanda bagus pada abangnya. Tetapi dengan pantas ditarik oleh Datin Rohana. Anak-anaknya kalau dibiarkan makin panjang mereka bertikam lidah. Tetapi suasana itulah yang sentiasa menceriakan hidup Datin Rohana. Tapi bila anak-anaknya dah besar panjang. Masing-masing sibuk. Susah kalau nak diajak berkumpul.

Okey la mummy Ray pergi dulu. Pagi ni ada meeting. Papa jumpa kat office nanti.” Lantas tangan Datuk Razlan dan Datin Rohana disalam.

“Okey la, abang pun nak beransur jugak. Ada meeting dengan Tan Sri Razif.

Datuk Razlan beredar meninggalkan ruang makan setelah mencium dahi isterinya.

Mummy , along tu dah kena sampuk ke. Sejak bila pulak bersopan-santun macamtu. Tak pernah-pernah Lisya nampak dia cium tangan mummy ngan papa

“Tak baik cakap macamtu, baguslah kalau along dah berubah. Yang Lisya tu bila lagi nak berubah. Lisya pun jarang-jarang bersalam dengan mummy.

‘Hah! Kan dah kena batang hidung sendiri’. Jerit hati Alisya Umaira. Menyesal pulak bercakap begitu.

“Lisya seorang saja tau anak perempuan mummy. Mummy suka sangat kalau Lisya pakai tudung. Mesti lagi cantik anak dara mummy ni.  Sakit mata mummy ni melihat anak dara mummy asyik pakai sendat-sendat.”

“Ishh, mummy ni ke situ pulak. Orang tanya pasal along la.” Cebik Alisya Umaira.

“Cuba Lisya tengok Kak Wafi, kan lebih manis kalau Lisya macamtu. Lebih sopan.” Datin Rohana mula teringat pada bakal menantunya itu. Dah lama benar Adrianna Wafiyah tidak menghubunginya.

“Mummy ni dah mula la kan nak sakitkan hati Lisya. Mummy, Wafi, wafi dan Lisya, Lisya. Tak perlu mummy nak samakan Lisya dengan perempuan tu. Kita pun tak tahu perempuan tu baik ke tak. Mummy pun baru saja kenal kan. Entah-entah perangai lagi teruk dari perempuan tak pakai tudung.” Marah Alisya Umaira. Kenapa semua orang suka pada perempuan kampung perampas tu.

“Lagipun mummy, Lisya ni muda lagi. Lisya ni up to date. Bukan macam bakal menantu mummy tu. Terserlah kekampungan dia! Kesian abang dapat isteri macamtu. Mummy ni tak fikir langsung pasal abang.” Alisya Umaira mula meninggikan suara.

“Lisya, mummy tak ajar anak-anak mummy bersikap kurang ajar macamni! Lisya kena ingat kak Wafi bakal kakak ipar Lisya. Jadi mummy nak Lisya hormat dengan dia. Faham!” Marah Datin Rohana.

Alisya Umaira mencebik lagi. Benci sungguh dia pada Adrianna Wafiyah. Entah apa yang menarik pada perempuan itu. Sakit benar hatinya setiap kali mummy pasti akan menyebelahi Adrianna Wafiyah. Benci!. Alisya Umaira bangun lalu menghilang ke biliknya. Lagi lama berada disitu, makin panas hatinya mendengar Datin Rohana bercakap pasal Adrianna Wafiyah.

Datin Rohana tahu yang Alisya Umaira tidak berapa suka dengan Adrianna Wafiyah. Tapi dia pasti satu hari nanti Alisya Umaira pasti nampak kebaikan Adrianna Wafiyah. Pepatah melayu ada mengatakan tak kenal maka tak cinta, kalau dah kenal barulah jatuh cinta. Datin Rohana kenal dengan keperibadian anak gadisnya. Alisya Umaira merupakan seorang yang lembut. Bukan pembentak macam tadi. Mungkin betul anaknya masih belum menyesuaikan diri untuk menerima kehadiran orang baru dalam rumah mereka. Entah kenapa anaknya boleh berubah perangai macam tadi. Tak pernah Lisya bercakap kasar dengannya seperti tadi. Datin Rohana mengeluh lemah.


Hari ini di pejabat, Adrianna Wafiyah sibuk kerana banyak kerja yang perlu disiapkan sebelum dia mengambil cuti panjang. Tidak menang tangan rasanya untuk menyiapkan kerja-kerja yang bertimbun ini. Adrianna Wafiyah tidak suka menyerahkan tugas yang di amanahkan pada orang lain. Kadang-kadang sampai ke malam pun Adrianna Wafiyah masih lagi di pejabat. Sedang dia sibuk menyiapkan kerjanya, tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Dengan pantas Adrianna Wafiyah menjawab panggilan itu selepas  melihat nama yang tertera.

“Assalamualaikum Datin.”

“Waalaikumsalam, Wafi dah berapa kali mummy pesan jangan panggil Datin. Wafi tu bukannya orang lain, tak lama lagi jadi menantu mummy jugak kan.”

Adrianna Wafiyah menelan liur apabila Datin Rohana mengingatkan status dirinya.

“Maaf Datin, Wafi tak biasa nak panggil Datin dengan panggilan mummy. Rasa lain sikit.”

“Ala, lama-lama nanti biasa la. Mulai hari ni jangan panggil mummy Datin lagi.”

“Ada apa mum..mummy call Wafi ni?” kekok Adrianna Wafiyah menyebut panggilan mummy.

“Saja la mummy nak berbual dengan Wafi. Wafi pun dah lama tak call mummy.” Jawab Datin Rohana.

Sorry la mummy lately ni Wafi busy sikit. Tak sempat nak call mummy.

“Lagipun minggu depan Wafi dah mula cuti, jadi banyak kerja yang perlu disiapkan awal.”

 “Kerja, kerja jugak Wafi tapi kesihatan jangan abaikan. Mummy tak nak nanti masa hari perkahwinan tu muka Wafi lesu tak bermaya.” Nasihat Datin Rohana.

“Baiklah mummy Wafi ingat pesanan mummy tu.”

Okeylah mummy letak telefon dulu ye sebab mummy nak keluar sekejap jumpa kawan. Assalamualaikum. Ingat pesan Mummy tu.”

Okey mummy, Waalaikumsalam.”   

Baru sahaja Adrianna Wafiyah ingin menyambung kembali kerja yang tergendala, Sofea bertandang ke tempatnya. Panas juga hati Adrianna Wafiyah kerana asyik diganggu. Bila nak siap kerja kalau macam ini.

“Wafi, jom pergi lunch. Dah pukul satu la.” Sofea menunjuk jam ditangannya.
             “Eh, dah pukul satu ke? Patut la perut aku asyik berbunyi aje dari tadi.”

“Dah tu kau tunggu apa lagi, jom la.”
            “Fea kau boleh tapaukan untuk aku tak?Aku malas la nak keluar. Kerja aku tengah banyak ni.”
“Hmm, okey aku tapau untuk kau lauk macam biasa ek. Aku pergi dulu nanti kak Rita tinggal pulak. Tak pasal-pasal aku lunch sorang-sorang nanti.”
            Thanks beb, sorry tau tak teman kau.”

“okey.”

Sofea berlari-lari anak mendapatkan kak Rita yang semakin jauh meninggalkannya. Laju jugak Kak Rita ni berjalan. Tak padan dengan badan besar.

Adrianna Wafiyah menyambung semula kerja yang bertimbun itu setelah Sofea berlalu pergi. Sedang leka menyiapkan kertas kerja yang diberikan oleh ketuanya, tiba-tiba lagu Give Me A Reason berkumandang menandakan ada call masuk. Adrianna Wafiyah mengerling seketika pada telefon bimbitnya tanpa berniat mahu menjawab panggilan itu setelah melihat nama pemanggil. Seketika sahaja telefon itu menjadi sepi. Adrianna Wafiyah berasa lega, rimas dirinya mahu melayan perangai sombong si pemanggil.

Selepas beberapa minit, telefon bimbitnya berbunyi lagi. Tetapi kali ini mesej yang diterima dari Note 3 miliknya. Adrianna Wafiyah mengeluh setelah membaca mesej yang dihantar oleh Adam Rayyan. ‘ Apa hal mamat poyo ni nak jumpa aku. Kan tak elok berjumpa sebelum kahwin. Pesan Ibu tersayang yang melarang dia berjumpa dengan Adam Rayyan menjelma kembali. Tinggal beberapa hari saja lagi. Kenapa dia nak jumpa aku. Hah! Jangan-jangan dia nak batalkan perkahwinan kami. Nauzubillah..janganlah terjadi seperti yang aku fikir ni. Kalau tak malu Ibu aku kerana semua kad jemputan telah diedarkan.’ Gumam hati Adrianna Wafiyah. Risau!